USM SOKONG INISIATIF PEMBANGUNAN SUKAN OKU
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 8 Februari 2025 - Hak golongan orang kurang upaya (OKU) pekak harus diberi perhatian sewajarnya kerana mereka juga mempunyai suara yang perlu didengari dan berhak mendapat keadilan, insentif serta pengiktirafan dalam acara sukan seperti Sukan Malaysia (SUKMA), Para SUKMA dan Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA).
Sokongan ke arah memperkasa pembangunan sukan untuk golongan OKU pekak di negeri Kelantan perlu diteruskan agar mereka dapat mengecapi kejayaan yang berprestasi tinggi.
Pengarah Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Shaiful Bahri Ismail dalam ucapannya berkata, USM sentiasa komited dan menyokong penuh inisiatif-inisiatif yang memberi manfaat kepada golongan OKU khususnya dalam bidang sukan.
"Sebagai sebuah universiti yang mengutamakan kesejahteraan dan kesaksamaan untuk semua, kami percaya bahawa sukan adalah medium yang penting untuk memupuk semangat berpasukan, meningkatkan keyakinan diri dan memberi peluang yang sama rata kepada semua individu tanpa mengira latar belakang.
"Kami berharap semangat yang ada pada hari ini dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai orang di luar sana untuk terus menyokong perkembangan sukan orang pekak di negeri Kelantan," katanya ketika merasmikan Program 'Fun Walk' 3.0 2025 di Kompleks Sukan 2, Kampus Kesihatan USM, hari ini.
Menurut Shaiful, program ini bukan sahaja satu inisiatif yang berteraskan semangat kesukanan tetapi juga bertujuan untuk mengumpul dana yang sangat penting bagi kelangsungan aktiviti sukan dan kebajikan golongan OKU pekak di negeri ini.
"Saya dimaklumkan bahawa Persatuan Sukan Orang Pekak Negeri Kelantan (KelSDeaf) sedang mengumpul dana daripada setiap program seperti ini dan dana yang diperoleh akan digunakan untuk menghantar kontinjen Kelantan seramai 20 orang atlet ke temasya SOPMA ke-22 (SOPMA XXII) di Kuching Sarawak pada Julai nanti dalam acara futsal dan ‘orienteering’.
“Justeru, bagi memastikan kejayaan kontinjen kita, kerajaan menggalakkan kerjasama daripada syarikat dan individu berkemampuan untuk memberi tajaan. Sokongan sektor korporat amat dihargai untuk memberi peluang terbaik kepada atlet negeri Kelantan,” ujarnya lagi.
Sementara itu, salah seorang peserta yang juga kakitangan Hospital Pasir Mas, Surina Mustapha, ketika ditemui berkata, beliau menyokong usaha memajukan golongan OKU dan ini merupakan kali ketiga beliau mengikuti program seperti ini.
“Dengan menyertai program sebegini, saya dapat membantu menyumbang dana kepada KelSDeaf selain turut merapatkan silaturahim antara peserta yang hadir dan yang paling penting kami semua dapat amalkan gaya hidup yang sihat.
"Terima kasih kepada pihak Kampus Kesihatan USM yang menjadi tuan rumah pada edisi kali ini. Fasiliti di sini amat sesuai sekali dengan ruang letak kereta yang luas, trek larian dan mini stadium yang baik,” ujar beliau.
Program yang bertemakan 'Together We Stand, Let’s Healthy Together' ini disertai hampir 500 orang peserta.
Teks: Mohd Hafiz Ya'acob / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 310