USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 21 Februari 2021 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) akan memperkukuh kerjasama dengan Universitas Muhammadiyah Tasikmalaya (UMTAS) menerusi libatsama beberapa aktiviti akademik seperti penyelidikan, pengajaran, persidangan, seminar dan pertukaran pelajar antara kedua-kedua universiti.
Bagi membolehkan usaha itu dilaksanakan, memorandum perjanjian (MoA) antara USM dan UMTAS dimeterai, hari ini.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, USM amat mengalu-alukan kerjasama antara dua negara ini.
“Umum mengetahui bahawa PPSK mempunyai ramai tenaga pakar pelbagai bidang dalam sektor kesihatan dan mampu menyumbang serta berkongsi ilmu bagi menjayakan segala aktiviti yang dirancang melalui perjanjian ini.
“PPSK yang ditubuhkan pada 1 November 1999 komited untuk melahirkan graduan yang berdaya saing dan penyelidikan terbilang, di samping menyumbang kepada pembangunan negara perindustrian dan bertamadun,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan dalam majlis yang diadakan secara maya itu.
Tambah Faisal Rafiq, bagi memenuhi aspirasi, PPSK menawarkan 10 program sarjana muda dan satu (1) program diploma serta ijazah pasca siswazah dalam pelbagai bidang Sains Kesihatan berasaskan kesejahteraan antara pelbagai disiplin dan komprehensif untuk pembangunan pendidikan, saintifik dan modal insan.
“Menjadi tanggungjawab USM sebagai salah sebuah universiti penyelidikan untuk membantu universiti lain yang memerlukan kepakaran kami. Saya percaya perjanjian antara USM dan UMTAS ini adalah permulaan kepada kerjasama yang lebih erat di masa hadapan.
“Terima kasih kepada UMTAS kerana memberi kepercayaan kepada USM dengan memulakan MoA ini dan tahniah juga kepada ahli akademik PPSK yang terlibat dalam kerjasama ini diketuai oleh Profesor Madya Dr. Rosminah Mohamed.
“Saya yakin bahawa pasukan PPSK akan menyumbang kepakaran mereka sepenuhnya serta menghasilkan kejayaan yang lebih besar dalam perspektif Sains Kesihatan,” jelasnya lagi.
Faisal Rafiq menandatangani MoA itu bagi pihak USM sementara Dekan PPSK, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak sebagai saksi manakala UMTAS pula diwakili oleh Rektor, Dr. Ahmad Qonit AD, MA dan Dekan Fakulti Sains Kesihatan, Sri Mulyanti M. Kep sebagai saksi.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman