USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 14 Februari 2022 – Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) berumur 5 hingga 11 tahun dipercayai langkah terbaik untuk mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak.
Menurut Penyelaras Pusat Pemberian Vaksin Khas (SPPV) Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Mohd Imran Yusof, vaksin adalah perlindungan terbaik untuk meningkatkan imunisasi badan dengan mengurangkan risiko dijangkiti COVID-19.
“Suntikan vaksin bukanlah satu kekebalan daripada risiko kematian, namun kematian yang dikaitkan secara langsung dengan COVID-19 dapat dikurangkan terutama dalam kalangan kanak-kanak.
“Sebagaimana pengumuman oleh Menteri Kesihatan Malaysia baru-baru ini, PICKids berumur 5 hingga 11 tahun akan bermula pada bulan Februari 2022 dan SPPV Hospital USM turut diberi tanggungjawab untuk memberi suntikan kepada pesakit kanak-kanak Hospital USM yang berisiko serta anak-anak staf USM Kampus Kesihatan yang memenuhi kriteria telah ditetapkan,” ujarnya.
Tambah Imran, SPPV Hospital USM memberikan suntikan vaksin kepada kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun bermula hari ini, 14 Februari 2022 dengan penyertaan seramai 60 orang yang telah membuat pengesahan menerima temujanji suntikan vaksin melalui aplikasi MySejahtera.
“Vaksin yang akan diberikan adalah jenis Pfizer (dos kanak-kanak) dan tempoh sela antara dos pertama dan dos kedua adalah lapan (8) minggu.
“Proses vaksinasi yang bermula seawal jam 8.30 pagi dan berakhir jam 2.00 petang itu berjalan dengan lancar walaupun berdepan dengan pelbagai karenah kanak-kanak,” jelasnya lagi.
Imran turut menyeru agar lebih ramai ibu bapa membuat pendaftaran vaksinasi kepada anak-anak mereka supaya risiko jangkitan dapat dikurangkan sekaligus membantu negara melandaikan lekuk kes harian yang semakin meningkat kini.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman