USM KUBANG KERIAN, 24 November 2021 - Vaksinasi COVID-19 sehingga kini masih menjadi topik yang hangat diperdebatkan dalam kalangan rakyat Malaysia sejak ia diberikan kepada warganegara yang layak bermula Mac 2021.
Pfizer, Sinovac, Astrazaneca dan CanSino antara vaksin yang telah diluluskan penggunaannya kepada rakyat di negara kita.
Menurut Ketua Penyelaras Pusat Pemberian Vaksin Khas (SPPV), Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Mohd Imran Yusof, sejak beroperasi pada bulan Mac lalu, proses vaksinasi di SPPV Hospital USM mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan staf, pelajar dan orang ramai yang datang mendapatkan suntikan vaksin.
"SPPV Hospital USM menerima bekalan vaksin melebihi 50,000 dos dan lebih 20,000 penerima telah mendapat suntikan sama ada untuk vaksin yang dua (2) dos mahupun dos tunggal iaitu satu (1) dos sahaja.
"Bagi merancakkan proses pemberian vaksin, SPPV Hospital USM juga telah bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menerusi program 'KPT prihatin, Komuniti Sejahtera' (KRIS) di mana pasukan vaksin SPPV Hospital USM turun padang ke Pusat-pusat Tahanan iaitu Penjara Pengkalan Chepa dan Penjara Pasir Mas, selain Sekolah Agama di bawah seliaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) serta Pusat Asuhan Kanak-kanak Spastik bagi memudahkan mereka yang terlibat menerima suntikan vaksin", ujar beliau semasa program Bual Bicara COVID-19 yang diadakan di Kampus Kesihatan.
Imran yang juga merupakan Timbalan Pengarah Operasi Hospital USM berkata, sehingga ke hari ini, SPPV Hospital USM masih beroperasi dan dibuka kepada mana-mana individu yang berminat untuk mendapatkan suntikan vaksin dos penggalak atau 'booster'.
Bercakap tentang dos 'booster', Imran memaklumkan ianya tidak diwajibkan untuk semua tetapi lebih fokus kepada pasukan petugas barisan hadapan, warga emas berumur 60 tahun ke atas dan mereka yang berumur 18 tahun ke atas di bawah 60 tahun dengan komorbiditi kerana terdapat kajian yang menunjukkan selepas beberapa bulan, kesan efikasi vaksin yang diambil sebelum ini menurun.
"Ini kerana mereka adalah golongan yang lebih terdedah kepada risiko jangkitan dan lebih 3,000 staf di Kampus Kesihatan telah mendapatkan suntikan dos penggalak atas kesedaran mereka sendiri setelah melihat situasi COVID-19 di seluruh dunia dan mereka merasakan perlu untuk mendapatkan dos tersebut bagi meningkatkan imuniti mereka," jelasnya.
Dalam sesi Bual Bicara COVID-19, dengan tajuk Menuju Endemik: Bersediakah Kita?, Imran turut mengupas berkenaan jumlah penerima vaksin di negeri Kelantan yang masih rendah iaitu antara 59-60% sahaja.
"Berdasarkan soal-selidik yang pernah dibuat kepada 7,000 sampel, terdapat tiga (3) faktor utama penolakan vaksin COVID-19 dalam kalangan rakyat di Kelantan iaitu tidak yakin vaksin dapat mengatasi masalah COVID-19, vaksin dihasilkan dalam masa yang singkat dan takut vaksin memberikan kesan sampingan yang teruk sehingga menyebabkan kematian," ujar beliau.
Bercakap tentang penerima yang telah lengkap vaksinasi masih dijangkiti COVID-19, Imran menegaskan bahawa vaksin bukanlah ubat yang boleh menyembuhkan pesakit COVID-19.
"Kita perlu tahu, vaksin bukan ubat tetapi ia bertindak sebagai penghalang atau penebat yang boleh mengurangkan keterukan penyakit, mengurangkan kadar hospitalisasi iaitu masuk ke wad dengan kadar jangkitan di tahap empat (4) dan lima (5), tidak perlu bantuan pernafasan dan ianya juga mampu mengurangkan kadar kematian dalam kalangan pesakit.
"Saya suka menasihatkan kepada mereka yang masih belum mendapatkan vaksinasi, daftarlah menerusi pelbagai saluran yang disediakan kerana vaksinasi adalah tanda kita bertanggungjawab bukan sahaja kepada keselamatan diri sendiri, malahan kesejahteraan orang di sekeliling kita," ulasnya lanjut.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman