WARGA KAMPUS DISERU SEMARAKKAN BULAN RAMADAN DAN KUKUHKAN HUBUNGAN KOMUNITI
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 9 Februari 2025 - Ramadan merupakan bulan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan memperbaiki kualiti hidup.
Di samping berpuasa, umat Islam turut digalakkan melipatgandakan ibadah bagi meraih keberkatan pada bulan penuh rahmat ini.
Pengarah Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Shaiful Bahri Ismail, dalam ucapan perasmiannya menekankan pentingnya bulan Ramadan dan menyeru warga kampus untuk memanfaatkan bulan ini dengan meningkatkan ibadah dan mengukuhkan hubungan dengan komuniti.
“Ramadan bukan hanya bulan yang menguji kesabaran tetapi juga bulan yang mempunyai peluang besar untuk meraih keberkatan dan rahmat Allah SWT.
“Apabila tiba Ramadan, pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup serta syaitan-syaitan dibelenggu,” katanya ketika membaca hadis dalam ucapannya.
Beliau berkata demikian sempena Sambutan Hilal Ramadan Peringkat Kampus Kesihatan USM bagi tahun 1446H/2025 yang berlangsung dengan meriah di Auditorium Blok Pentadbiran Hospital Pakar USM (HPUSM), hari ini.
Shaiful juga turut menekankan kepentingan bulan penuh rahmat ini sebagai peluang untuk umat Islam memperbanyakkan bacaan al-Quran, berbuat kebaikan, bersedekah serta melaksanakan segala amal yang mendekatkan diri kepada Allah SWT.
"Semoga penghayatan terhadap Ramadan ini membentuk komuniti yang harmoni, bersatu, saling membantu dan lebih bersyukur atas nikmat Allah SWT.
"Manfaatkan Ramadan dalam meningkatkan ketakwaan dan kesejahteraan masyarakat," ujarnya lagi.
Beliau juga turut merakamkan penghargaan kepada Pusat Islam Kampus Kesihatan USM, rakan penaja, dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program sepanjang Ramadan pada tahun ini.
Sambutan Hilal Ramadan tahun ini turut diserikan dengan gimik perasmian tabung Infaq Ramadan dan tabung Aktiviti Ramadan Kampus Kesihatan USM di samping sesi tazkirah yang disampaikan oleh penceramah jemputan, Ustaz Fadli Hasbullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Manis.
Hadir sama dalam sambutan ini ialah Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM), Profesor Madya Dr. Aziah Ismail; Timbalan Pengarah, Pusat Islam, Kampus Kesihatan USM, Amira Abd Satar @ Ismail dan ketua-ketua jabatan serta unit HPUSM.
Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 173