1,000 penuntut dari 12 universiti awam bantu pasca banjir di Kelantan
Sisipan Akhbar: hmetro.com.my (5 Disember 2024)
Kota Bharu: Seramai 1,000 penuntut dari 12 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara terbabit dalam misi bantuan pasca banjir kepada mangsa yang terjejas di enam daerah di negeri ini.
Antara universiti yang terbabit termasuklah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Putra Malaysia (UPM), dan Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Pengerusi Majlis Sukarelawan Universiti-Universiti Malaysia (MASKUM) Prof Dr Norkhalid Salimin berkata, Misi Skuad Ihsan Madani yang disertai sukarelawan daripada penuntut IPTA seluruh negara itu adalah kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Katanya, banjir bermula dua minggu lepas dan pada Isnin lalu pihaknya bermesyuarat dengan Ketua Setiausaha KPT bagi permohonan untuk menggerakkan misi pasca banjir ke Kelantan yang bertujuan memberi pendedahan kepada semua penuntut untuk menyantuni serta menyelami keadaan mangsa banjir di negeri itu.
"Dalam misi pasca banjir yang diadakan dua hari bermula hari ini memfokuskan lima daerah tumpuan yang teruk terjejas iaitu Pasir Mas, Tumpat, Rantau Panjang, Tanah Merah, Pasir Mas, dan Bachok.
"Aktiviti pembersihan dan pemulihan pasca banjir akan dilaksanakan oleh sukarelawan dan mereka sudah dibahagikan kawasan kampung yang terjejas dalam bencana banjir yang berlaku baru-baru ini," katanya selepas Misi Skuad Ihsan Madani KPT- MASKUM di Padang Kawad, Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian, di sini, hari ini.
Katanya, dalam misi yang diadakan itu, beberapa aset milik universiti antaranya UPSI dan UMK termasuk bot, kayak, dan lori turut digerakkan untuk membantu proses pengagihan bakul makanan serta pemindahan mangsa banjir.
Dalam perkembangan sama, Norkhalid yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI berkata, pada masa sama, pasukan kaunseling turut digerakkan di pusat pemindahan sementara (PPS) yang bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK).
"Pasukan kaunseling ini terdiri daripada lapan pensyarah dari Persatuan Kaunseling Malaysia (PERKAMA) untuk memberikan sokongan emosi dan psikologi kepada mangsa banjir di PPS yang memerlukan terutamanya di Tumpat dan Pasir Mas," katanya.
Sementara itu, penuntut Ijazah Sarjana Muda Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan dari Universiti Sains Malaysia (USM), Siti Rahmah Zainal Anuar, 21, berkata, ini adalah kali pertama dia menyertai misi bantuan di luar kampus untuk membersihkan penempatan penduduk yang terkesan banjir.
"Misi bantuan yang disertai ini membolehkan saya menyantuni dan menyelami sendiri perasaan mangsa banjir kerana ada di antara mereka yang kehilangan kediaman dan kemusnahan harta benda.
"Pada masa, saya juga berharap niat murni yang ditunjukkan oleh semua sukarelawan terbabit dapat memberi contoh teladan yang baik kepada generasi muda di luar sana agar terus berkhidmat kepada masyarakat tidak kira bangsa dan agama," katanya.
Disiarkan pada: Disember 5, 2024 @ 11:40am
- Created on .
- Hits: 83