1,000 sukarelawan MASKUM sertai Misi Skuad Ihsan MADANI
Sisipan Akhbar: bharian.com.my (6 Disember 2024)
KOTA BHARU: Seramai 1,000 penuntut dari 12 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara menyertai Misi Skuad Ihsan MADANI bagi memberi bantuan pasca banjir kepada mangsa yang terjejas di enam daerah di negeri ini.
Antara universiti terbabit ialah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Pengerusi Majlis Sukarelawan Universiti-Universiti Malaysia (MASKUM), Prof Dr Norkhalid Salimin, berkata misi berkenaan dijayakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Katanya, pihaknya bermesyuarat dengan Ketua Setiausaha KPT pada Isnin lalu, memohon untuk menggerakkan misi pascabanjir ke Kelantan bagi memberi pendedahan kepada penuntut dalam menyantuni dan menyelami keadaan mangsa banjir di negeri itu.
"Dalam misi pascabanjir yang diadakan dua hari bermula hari ini (semalam), kami memberi tumpuan di lima daerah yang teruk terjejas iaitu Pasir Mas, Tumpat, Rantau Panjang, Tanah Merah, Pasir Mas dan Bachok.
"Aktiviti pembersihan dan pemulihan pascabanjir akan dilaksanakan oleh sukarelawan dan mereka sudah dibahagikan mengikut kawasan kampung yang terjejas teruk akibat banjir," katanya ketika menyertai Misi Skuad Ihsan Madani KPT-MASKUM di Padang Kawad, Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian, di sini, semalam.
Pelbagai aset digunakan
Norkhalid berkata, dalam misi itu, beberapa aset milik universiti, antaranya UPSI dan UMK termasuk bot, kayak dan lori turut digerakkan untuk membantu proses pengagihan bakul makanan serta pemindahan mangsa banjir.
Dalam perkembangan sama, Norkhalid yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI berkata, pasukan kaunseling dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) turut digerakkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
"Pasukan kaunseling yang terdiri daripada lapan pensyarah dari Persatuan Kaunseling Malaysia (PERKAMA) akan memberikan sokongan emosi dan psikologi kepada mangsa banjir di PPS yang memerlukan, terutama di Tumpat dan Pasir Mas," katanya.
Sementara itu, penuntut Ijazah Sarjana Muda Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan dari Universiti Sains Malaysia (USM), Siti Rahmah Zainal Anuar, 21, berkata ini kali pertama dia menyertai misi bantuan di luar kampus untuk membersihkan penempatan penduduk yang terkesan banjir.
"Misi bantuan ini membolehkan saya menyantuni dan menyelami perasaan mangsa banjir kerana ada di antara mereka kehilangan kediaman dan kerugian akibat harta benda musnah.
"Saya juga berharap niat murni yang ditunjukkan sukarelawan dapat memberi teladan yang baik kepada generasi muda agar terus berkhidmat kepada masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama," katanya.
- Created on .
- Hits: 68