Beliau berkata, USM melalui projek penyelidikan madu kelulut USM mengkomersialkan madu kelulut melalui pelan strategik membabitkan pembangunan penternak seramai 4,000 orang.
"Ini dilaksanakan di bawah inisiatif dinamakan KELULUNOMIC, untuk menjamin bekalan berterusan dan dipasarkan melalui syarikat spin-off universiti, iaitu Brainey Sdn Bhd.
"Dalam hal ini, kawalan kualiti yang ketat menjamin keaslian dan konsistensi zat madu yang digunakan dalam ujian-ujian klinikal di mana madu yang diuji ini dikeluarkan kepada pengguna," katanya.
Secara amnya, beliau berkata, madu kelulut mempunyai ciri fizikal yang lebih cair dengan rasa masam manis yang unik dengan aroma bunga atau buah.
Katanya, madu kelulut turut diketengahkan sebagai makanan berkhasiat dan suplemen tambahan membantu pertumbuhan otak kanak-kanak, meningkatkan sistem imun badan, mengawal tekanan emosi dan pencegahan nyanyuk dalam kalangan warga emas.
"Perkembangan kajian saintifik menunjukkan madu kelulut mengandungi pelbagai bahan unik yang penting untuk dijadikan makanan berfungsi bagi membantu kesihatan malahan dinobatkan sebagai superfood di Malaysia.
"Kandungan bahan antioksida seperti asid fenolik dan flavonoid, bahan asid amino, bakteria baik serta vitamin menjadikan madu kelulut makanan lengkap untuk keperluan nutrien harian.
"Malah, dengan adanya gula unik, iaitu gula trehalulosa menjadikan ia low glycaemic selain berperanan sebagai gula alternatif yang tidak merosakkan gigi," katanya.