Angka rakyat Malaysia hidap strok semakin meningkat
Keratan Akhbar: bharian.com.my
Tarikh: 6 November 2023
KOTA BHARU: Dianggarkan satu daripada empat penduduk Malaysia berisiko menghidap strok jika tiada pencegahan awal dilakukan, menjelang 2040.
Kini, 150 daripada 100,000 penduduk Malaysia dikenali pasti berisiko mendapat strok dan bilangan pesakit bertambah setiap tahun.
Bahaya paling parah, ia menyebabkan kematian atau mengakibatkan kecacatan kekal dan ketidakupayaan anggota badan.
Pakar Perubatan, Jabatan Perubatan Kecemasan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Wan Syahmi Wan Mohamad, berkata strok dikategorikan penyakit 'Cerebrovascular' berkaitan saluran darah ke otak yang tidak dapat membekalkan bekalan darah dan oksigen mencukupi.
Sekiranya oksigen disalurkan tidak mencukupi, tisu-tisu pada bahagian otak akan mengalami kerosakan dan akhirnya mati serta mengakibatkan individu mengalami strok.
"Dua jenis strok, iaitu pertama, paling biasa terjadi dikenali 'Strok Iskemia' di mana saluran darah tersumbat dan tidak dapat membekalkan darah dan oksigen secukupnya.
"Kedua, Strok Berdarah iaitu saluran darah dalam otak pecah. Bagaimanapun, 80 peratus kes penyakit strok disumbangkan oleh 'Strok Iskemia'," katanya.
"Usia lanjut antara punca mendapat strok. Statistik terbaharu menunjukkan 40 peratus pesakit strok pesakit berusia 60 tahun ke bawah dan amat membimbangkan.
"Beberapa gejala strok dikenal pasti antaranya kelumpuhan anggota badan, susah bercakap, muka senget sebelah, hilang keseimbangan dan bergantung kepada bahagian otak mana terkesan," katanya.
Dr Wan Syahmi, menjelaskan cara-cara mengenal pasti menghidap strok adalah dengan menggunakan singkatan huruf 'BEFAST'.
"(B) untuk 'balance' merujuk kepada gejala pening dan hilang keseimbangan, (E) untuk 'eye' iaitu penglihatan sama ada kabur atau sebaliknya, (F) untuk 'Facial Asymmetry' atau muka menjadi senget sebelah, (A) untuk 'arm' merujuk kepada bahagian badan yang lumpuh, (S) untuk 'speech' adalah merujuk kepada percakapan tidak jelas dan (T) untuk 'time' merujuk peringatan strok adalah satu kecemasan perubatan, iaitu pesakit perlu mendapatkan rawatan segera.
"Justeru langkah pencegahan perlu diambil bagi mengelak strok dengan menjaga pemakanan agar berat badan tidak berlebihan, hentikan merokok, tahap kolesterol tinggi dan tiada diabetes.
"Faktor etnik dan keturunan juga punca diserang stork," katanya.
- Created on .
- Hits: 274