Bantuan awal psikologi penting untuk kesihatan mental mangsa banjir
Sisipan Akhbar: bharian.com.my (22 Disember 2024)
KOTA BHARU: Bencana banjir Kelantan khususnya di daerah Tumpat dan Pasir Mas meninggalkan kesan mendalam terhadap kehidupan fizikal dan kesihatan mental mangsa.
Menurut Pakar Perundingan Psikiatri dan Pensyarah Perubatan Kanan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Asrenee Ab Razak, trauma akibat banjir boleh mengakibatkan pelbagai kesan psikologi yang memerlukan perhatian segera.
Bagi setiap satu kecederaan fizikal akibat bencana terdapat lima hingga enam kecederaan psikologi yang akan dialami mangsa.
"Antara kesan utama termasuklah gangguan tidur, kebimbangan melampau, 'flashback' kejadian banjir dan kemurungan.
"Selain itu, mangsa juga cenderung mengalami perubahan tingkah laku seperti konflik interpersonal dan penyalahgunaan bahan terlarang," katanya.
Berdasarkan kajian yang dilakukan ketika banjir besar melanda Kuala Krai pada tahun 2014 mendapati ia memberi kesan psikologi signifikan kepada penduduk yang berhadapan bencana itu.
"Hasil kajian menunjukkan 38.3 peratus golongan dewasa mengalami trauma psikologi manakala 41.29 peratus warga emas menunjukkan gejala kemurungan dan 16.9 peratus dalam kalangan remaja dikenal pasti mengalami tanda-tanda trauma signifikan.
"Bagaimanapun, petugas banjir juga tidak terkecuali mengalami kesan emosi dengan 12.5 peratus daripada mereka menghadapi gangguan tekanan pasca trauma (PTSD) dan 18.1 peratus menunjukkan gejala kemurungan.
"Justeru, intervensi awal melalui bantuan psikologi atau 'Psychological First Aid' (PFA) sangat penting untuk mengelak masalah kesihatan mental seperti PTSD dan membantu mangsa bangkit semula dengan sokongan komuniti," katanya.
Dr Asrenee turut menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan pendedahan terhadap berita negatif dan tidak menularkannya tanpa rujukan daripada sumber yang sahih kerana ia boleh meningkatkan kebimbangan masyarakat.
"Jika trauma ini berterusan, mangsa banjir dinasihatkan untuk mendapatkan bantuan profesional bagi memastikan kesejahteraan mental mereka terjaga.
"Langkah ini diyakini dapat membantu mangsa mengatasi cabaran emosi dengan lebih baik kerana banjir bukan sekadar ujian fizikal tetapi juga cabaran mental," katanya.
Katanya, bantuan dan sokongan bersepadu daripada komuniti, keluarga dan pihak berkuasa amat penting untuk memastikan mangsa banjir dapat pulih dan membina semula kehidupan mereka.
- Created on .
- Hits: 94