Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

HUSM miliki mesin ABUS 2.0 untuk saringan awal kanser payudara

Sisipan Akhbar hmetro.com.my ( 7 September 2024 )

Kota Bharu: Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini, menjadi hospital pertama di Pantai Timur memiliki mesin Automated Breast Ultrasound (INVENIA ABUS 2.0) bernilai RM2 juta untuk pemeriksaan saringan awal kanser payudara.

Naib Canselor USM Prof Datuk Seri Ir Dr Abdul Rahman Mohamed berkata, jumlah peruntukan itu juga membabitkan sebuah bas bergerak yang diperoleh daripada sumber peruntukan dana Kemudahan Projek Khas Klinik Bergerak dan Saringan Kanser yang disalurkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada tahun lalu.

hmetro 07102024

Menurutnya, mesin ABUS 2.0 mula digunakan pada Jun lalu dapat memberikan pemeriksaan yang lebih komprehensif dan tepat, sekali gus meningkatkan peluang untuk pengesanan awal selain rawatan yang lebih berkesan kepada golongan berisiko.

"Mesin ini juga dicipta khusus untuk meningkatkan ketepatan pengesanan kanser payudara sebanyak 35.7 peratus bagi kaum wanita yang mempunyai tisu payudara yang padat dan sukar dikesan melalui prosedur mamogram.

"Pada masa sama, kaedah ultrasonografi 3D yang menggunakan radiasi non-ionizing ini turut selamat untuk digunakan kepada wanita hamil," katanya selepas perasmian mesin ABUS 2.0 dan Pelancaran Bulan Kesedaran Kanser Payudara (Pink October) 2024 Peringkat Hospital USM di Auditorium Hospital USM, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Abdul Rahman berkata,bagi memudahkan pemeriksaan saringan awal kanser payudara kepada masyarakat, mesin ABUS 2.0 ini juga akan diletakkan di dalam bas khas untuk dibawa ke program komuniti dan klinik bergerak sekitar negeri Kelantan.

"Saya berharap agar penggunaan mesin ABUS 2.0 ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh doktor, jururawat, juru x-ray perubatan serta kakitangan yang terbabit dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit dan masyarakat amnya.

"Mesin ABUS 2.0 ini juga adalah mesin ketiga di Malaysia dan saya yakin ia boleh mencetuskan pelbagai kecemerlangan dalam bidang akademik, penyelidikan serta berupaya menonjolkan pakar radiologi, surgeri dan patologi ke peringkat yang lebih tinggi dalam pelbagai aspek," katanya.

Tambah beliau, mengikut rekod, hampir setiap tahun seramai 100 pesakit yang menghidap kanser payudara mendapatkan rawatan di hospital berkenaan di mana 40 peratus daripada mereka datang sudah berada di tahap tiga dan empat.

"Berdasarkan laporan terkini National Cancer Registry dari tahun 2017 hingga 2021, kanser payudara adalah kanser utama dan pembunuh nombor satu dalam kalangan wanita membabitkan 38.9 peratus daripada keseluruhan kes kanser yang dialami golongan berkenaan," katanya.

Disiarkan pada: Oktober 7, 2024 @ 3:07pm

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/10/1141858/husm-miliki-mesin-abus-20-untuk-saringan-awal-kanser-payudara

  • Created on .
  • Hits: 240