'Kanak-kanak tetap perlukan vaksin walaupun ada imuniti semula jadi'
Keratan akhbar: bharian.com my
Tarikh: 16 Februari 2024
KOTA BHARU: Seorang pakar perubatan mengingatkan masyarakat bahawa tanggapan kanak-kanak tidak perlu divaksin perlu diperbetulkan.
Pensyarah Perubatan dan Pakar Pediatrik di Jabatan Pediatrik, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Ahmad Zafrullah Afham Ahmad Fikri, berkata mitos mengenai imuniti semula jadi si kecil adalah lebih baik daripada imuniti selepas divaksin adalah tidak tepat.
Katanya, bagi menghasilkan perlindungan (imuniti) secara semula jadi terhadap penyakit tertentu, seorang kanak-kanak perlu dijangkiti oleh bakteria atau virus berkenaan dan sembuh sepenuhnya daripada jangkitan.
"Dalam proses itu, kanak-kanak berisiko untuk mengalami komplikasi jangkitan yang boleh mengancam nyawa.
"Justeru, melalui pengambilan suntikan vaksin, sama ada yang berunsurkan bakteria atau virus yang sudah dimatikan atau dilemahkan memberi perlindungan setaraf dengan perlindungan (imuniti) semula jadi hasil daripada jangkitan tanpa perlu melalui risiko komplikasi jangkitan," katanya.
Beliau berkata, masyarakat terutama ibu bapa perlu sentiasa peka dengan jadual imunisasi anak-anak mereka.
"Pastikan mereka hadir janji temu di klinik kesihatan untuk pemeriksaan berkala dan elakkan daripada terlepas pemberian vaksin kepada anak mereka sama ada sengaja mahupun tidak.
"Suntikan vaksin akan membantu menguatkan lagi sistem imun kanak-kanak," katanya.
Katanya, Program Imunisasi Kebangsaan di Malaysia sudah diperkenalkan sejak awal tahun 1950 dan kini perkhidmatan itu diberikan secara percuma untuk melindungi kanak-kanak daripada 13 jangkitan cegahan vaksin iaitu tuberculosis (batuk kering), hepatitis B, difteria, pertussis (batuk kokol), poliomyelitis, haemophilus influenza type b, pneumokokal, measles (campak), mumps (beguk), rubella, human papillomavirus (HPV), tetanus, dan Japanese encephalitis (JE).
"Terdapat lima lagi vaksin yang tidak termasuk di dalam Program Imunisasi Kebangsaan tetapi sangat disyorkan iaitu cacar air, Hepatitis A, Influenza, penyakit meningokokus dan Rotavirus.
"Kebanyakan vaksin adalah dalam bentuk kombinasi iaitu beberapa jenis vaksin digabungkan dalam satu suntikan agar kanak-kanak mendapat perlindungan terhadap beberapa jenis penyakit dengan hanya satu suntikan. Ia menjadikan pemberian vaksin lebih praktikal dan kurang menyakitkan," katanya.
Beliau berkata, kebiasaannya tubuh kanak-kanak menghasilkan sel dan antibodi secara semula jadi bagi melindungi mereka daripada jangkitan virus serta bakteria dan mekanisma pertahanan berkenaan boleh dirangsang dengan pemberian vaksin.
"Vaksin membantu menguatkan imuniti melalui rangsangan kepada sel pertahanan supaya mengenali virus atau bakteria tertentu untuk dilawan pada masa hadapan.
"Kanak-kanak mudah dijangkiti penyakit cegahan vaksin kerana sistem daya lawan jangkitan mereka yang lebih lemah berbanding orang dewasa dan adalah sangat disyorkan agar kanak-kanak diberi imunisasi seawal mungkin mengikut jadual yang sudah ditetapkan," katanya.
Dr Ahmad Zafrullah Afham berkata, peratusan untuk kesan sampingan yang serius selepas pengambilan vaksin adalah sangat kecil, jauh lebih rendah berbanding risiko kematian atau kemudaratan yang disebabkan oleh penyakit ingin dicegah melalui vaksin ini.
"Sebagai ahli masyarakat, kita bertanggungjawab untuk melindungi mereka yang tidak sesuai menerima imunisasi seperti kanak-kanak yang menghidap barah dan perlu menjalani rawatan kemoterapi kerana golongan ini berisiko mendapat jangkitan," katanya.
Tambah beliau, proses pembuatan vaksin dijalankan dalam keadaan kawal selia yang rapi.
"Perkara ini amat dititikberatkan kerana vaksin dihasilkan daripada pembiakan organisma hidup dan sesetengah daripada organisma tersebut adalah penyebab penyakit berbahaya.
"Proses ini dijalankan dalam persekitaran bebas kuman dan dipantau rapi melalui langkah-langkah kawalan kualiti dan proses tersebut berbeza mengikut jenis vaksin, namun secara amnya penghasilan vaksin ini membabitkan empat langkah asas iaitu pembiakan, pengasingan, penulenan dan formulasi.
- Created on .
- Hits: 277