Kecederaan mata di tempat kerja catat peratusan tertinggi
Keratan Akhbar: bharian.com.my
Tarikh: 16 Januari 2024
KAJIAN antarabangsa menunjukkan peratusan kecederaan mata berlaku di tempat kerja lebih tinggi, iaitu 38.5 peratus berbanding kemalangan jalan raya (20.5 peratus), bersukan (29 peratus) dan pergaduhan (lima peratus).
Bagaimanapun, sebanyak 72.5 peratus kes kecederaan mata dilaporkan di tempat kerja akibat tusukan manakala 26.5 peratus akibat hentaman dan satu peratus kesan percikan bahan kimia.
Menurut Pakar Oftalmologi Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Shahidatul Adha Mohamad, stigma masyarakat menganggap risiko kecederaan mata di tempat kerja hanya membabitkan pekerja pembinaan perlu dikikis.
"Ada aspek lain dalam kegiatan seharian boleh menjadi punca kecederaan mata seperti debu, habuk, besi, logam, kaca, serpihan konkrit, peralatan kerja yang tidak stabil, percikan bahan kimia, cahaya kimpalan, cahaya radiasi dan objek terpelanting menusuk ke dalam mata.
"Penggunaan telefon pintar dan komputer dalam tempoh lama juga berbahaya kerana berisiko mata menjadi kering, kabur, sakit kepala dan kelesuan atau dikenali sebagai 'digital eye strain'," katanya.
Lebih 85 peratus kes kecederaan mata berkaitan kerja biasanya berlaku ketika sedang menggerudi, mengimpal besi dan memotong logam, manakala 10 peratus ketika bertukang dan menukul.
"Individu berisiko tinggi mendapat kecederaan mata ketika di tempat kerja adalah dalam kalangan mekanik, jurukimpal, tukang rumah, pekerja sektor pembinaan, ahli sukan, pemotong rumput dan tukang cuci.
"Sebagai langkah keselamatan di tempat kerja, Garis Panduan Pencegahan Kemalangan di Tempat Kerja dibangunkan oleh Unit Kesihatan Pekerjaan, Kementerian Kesihatan.
"Ia bagi mengenal pasti punca risiko, mewujudkan suasana kerja selamat, memastikan peralatan berfungsi dengan baik, memilih alat pelindung sesuai dan sentiasa dalam keadaan baik.
"Pelindung mata wajib digunakan melakukan kerja terdedah kepada bahaya elak kecederaan, risiko kehilangan penglihatan kekal, kerja bergantung kepada jenis bahaya, persekitaran kerja dan keperluan individu," katanya.
Justeru, kemalangan mata masih boleh berlaku walaupun alat pelindung mata digunakan, tapi tahap kecederaan mata tidak begitu serius atau kritikal.
"Jika tertusuk bahan tajam seperti kepingan besi, paku, skru, kaca, jangan mencabut keluar daripada mata, tapi ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan kerana bahan tajam perlu dikeluarkan melalui pembedahan," katanya.
Yang terkena percikan bahan kimia atau pencuci, segera basuh mata dengan air bersih aliran 20 minit dan ke hospital untuk iritasi selanjutnya
- Created on .
- Hits: 171