Lebih 40 premis kesihatan di Kelantan berisiko dilanda banjir
Keratan Akhbar: bharian.com.my
Tarikh: 21/ Oktober 2023
KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengesan lebih 40 premis kesihatan di negeri ini berisiko dilanda banjir pada musim tengkujuh.

Pengarah, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata angka itu diperoleh berdasarkan banjir yang berlaku sebelum ini dan ia mungkin berubah bergantung faktor tertentu.
"Kita ada lebih 40 (premis kesihatan) yang berisiko tapi kita tak boleh kekal dengan angka itu dan sebagai contoh tahun lepas kita tak jangkakan di Pasir Puteh berlaku banjir.
"Banyak faktor (banjir), salah satu pembangunan serta saliran dan jumlah itu hanya sebagai garis panduan kita sahaja.
"Saya sudah arahkan setiap pusat tanggungjawab di klinik dan pejabat kesihatan untuk memastikan bahawa kesiapsiagaan sudah dilaksanakan di kawasan yang tidak pernah berlaku banjir agar menganggap mereka juga berpotensi untuk berdepan banjir," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau ditemui selepas merasmikan persidangan 'Asia Pasific Cardiology Update 2023' (APCU) kali ke-14 di sini, hari ini.
Dr Zaini berkata, sebagai persediaan awal menjelang banjir, pihaknya sudah mengadakan beberapa siri mesyuarat bersama pihak berkaitan dan prosedur operasi standard (SOP) yang akan diguna pakai sudah disiapkan.
Menurutnya, pasukan yang akan bertugas di pejabat kesihatan dan hospital juga sudah bersedia malah kelengkapan logistik serta kesiagpsiagaan mengenal pasti kawasan yang berpotensi berlakunya banjir juga dijalankan.
"Persediaan kita termasuk memilih premis kesihatan yang sesuai untuk proses pemindahan pesakit yang memerlukan rawatan dialisis dan ibu yang hampir bersalin.
"Banjir di Kelantan setiap tahun berlaku dan Alhamdulillah, pengalaman lalu mengajar kita beberapa perkara dan sentiasa membuat penambahbaikan dari semasa ke semasa untuk memberikan rawatan yang seoptimum mungkin.
"Kita memantau juga melalui Jabatan Meteorologi dan amaran di Kelantan oleh pihak tertentu untuk pastikan kita sentiasa dalam kesiapsiagaan, cuma berharap dan berdoa supaya tidak berlaku banjir dalam skala yang besar," katanya.
- Created on .
- Hits: 221