KOTA BHARU: Pendedahan mengenai teknik bantuan asas hayat atau 'Cardiopulmonary Resuscitation' (CPR) kepada orang ramai sangat penting bagi mengelak individu memerlukan pertolongan kecemasan mengalami kecederaan serius pada otak.
Pakar Perubatan Kecemasan, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Boniami Yazid berkata, kelewatan mendapat bantuan kecemasan ketika tidak sedarkan diri boleh menyebabkan kecederaan pada otak.
Katanya, untuk mengelaknya hanya orang yang berada di sekitar mangsa boleh memberi bantuan kecemasan seperti CPR secepat mungkin, sementara menunggu petugas kesihatan tiba.
"Mangsa perlu diberi bantuan segera kerana otak manusia hanya dapat bertahan selama empat minit sebelum mengalami kecederaan serius akibat kekurangan oksigen.
"Kelewatan bantuan boleh mengakibatkan kemungkinan mangsa terlantar sebagaimana pesakit strok walaupun berjaya diselamatkan.
"CPR antara teknik pertolongan cemas yang diberikan kepada mangsa tidak sedarkan diri secara tiba-tiba.
"Bantuan ini segera diperlukan sementara menunggu ambulans sampai kerana tempoh masa yang ada terlalu singkat," katanya dalam kenyataan.
Punca mangsa tidak sedarkan diri majoritinya disebabkan oleh serangan jantung yang teruk.
"Apabila berlaku serangan itu, jantung tidak dapat mengepam darah dengan baik ke seluruh badan terutama ke bahagian otak dan kekurangan oksigen di bahagian otak akan menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri.
"Tiga faktor risiko paling utama serangan jantung adalah tekanan darah tidak terkawal, paras kolesterol tinggi dan tabiat merokok," katanya.
Dr Mohd Boniami berkata, berharap semua masyarakat termasuk isi rumah lebih peka dengan pengetahuan dan teknik CPR supaya dapat menyelamatkan lebih ramai orang pada masa akan datang.