Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

Modifikasi khas kerusi roda USM-MAIK, bantu tingkat kualiti kehidupan OKU

Sisipan Akhbar Sinarharian.com.my (18 Februari 2025)

KOTA BHARU - Keprihatinan terhadap golongan orang kurang upaya (OKU) terus diberi perhatian melalui Pusat Transformasi OKU (PTO) Universiti Sains Malaysia - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (USM-MAIK) yang menyediakan perkhidmatan modifikasi khas kerusi roda pertama seumpamanya di pantai timur.

Kerusi roda

Inisiatif itu bertujuan untuk meningkatkan kualiti kehidupan OKU dengan membantu mereka mudah bergerak dalam menjalani aktiviti harian sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada orang lain.

Ketua Pusat Transformasi OKU USM-MAIK, Dr Mohd Zulkifli Abdul Rahim berkata, model perkhidmatan modifikasi kerusi roda itu direka khusus untuk memenuhi keperluan pelbagai jenis OKU, termasuk mereka yang mengalami kesukaran mobiliti akibat kecederaan atau penyakit tertentu.

“Modifikasi khas ini bukan sahaja memberi penambahbaikan dari segi keselesaan dengan sokongan tambahan pada tempat duduk dan kaki malah turut dilengkapi dengan sistem mudah alih yang membolehkan penggunanya bergerak dengan lebih lancar di pelbagai permukaan seperti permukaan berbukit, jalan berbatu dan kawasan berdebu.

“Kerusi roda juga dilengkapi dengan reka bentuk ergonomik yang memberikan sokongan terbaik kepada pengguna terutamanya mereka yang mempunyai masalah mobiliti pada bahagian atas badan dengan menjamin postur badan yang betul dan selesa sepanjang penggunaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kerusi Roda OKU Asnaf di PTO USM-MAIK di sini pada Selasa.

Hadir merasmikan majlis itu, Pegawai Agihan Zakat mewakili Yang Dipertua MAIK, Siti Farahida Fauzi.

Kerusi roda1

Mohd Zulkifli berkata, inisiatif itu dilengkapi dengan teknologi terkini yang memudahkan pengendalian kerusi roda oleh pengguna.

“Pengguna akan diberikan latihan tentang cara penggunaan yang betul serta panduan penyelenggaraan dan pemeliharaan kerusi roda untuk memastikan peralatan ini berfungsi dengan baik dalam jangka panjang.

“Kemudahan penyelenggaraan komponen kerusi roda secara berkala juga dilakukan,” katanya.

Beliau menambah, sejak perkhidmatan dijalankan bermula 2013, seramai 571 OKU menerima manfaat dengan nilai berjumlah lebih RM1.6 juta.

Kerusi roda2

“Perkhidmatan modifikasi kerusi roda ini memberi manfaat kepada OKU di negeri ini, Terengganu dan Selangor.

“Selain di sini, dua pusat perkhidmatan modifikasi kerusi roda ialah di Selangor iaitu di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan serta Pusat Perubatan Universiti Malaya,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, penubuhan TPO USM- MAIK sejak 2022 yang bernilai RM1 juta adalah pusat sehenti OKU pertama di Malaysia yang menjadi rujukan dalam memperkasa golongan kurang upaya.

Katanya, pembinaan dilaksanakan melalui dana sumbangan MAIK yang memberi manfaat kepada lebih 5,000 golongan OKU di Kelantan, Terengganu dan Kuala Lumpur.

“Lebih membanggakan, seramai 120 OKU yang sudah berjaya mendapatkan pekerjaan seperti pembantu kafe, tukang kebun dan pembantu pasar raya.

“USM juga mempunyai kepakaran terapi cara kerja yang berperanan menilai impak kecacatan terhadap kehidupan, kekuatan serta potensi seseorang OKU bagi membolehkan mereka hidup berdikari,” katanya.

https://www.sinarharian.com.my/article/713397/edisi/kelantan/modifikasi-khas-kerusi-roda-usm-maik-bantu-tingkat-kualiti-kehidupan-oku

  • Created on .
  • Hits: 75