Monsun Timur Laut: JKNK kenal pasti lebih 40 fasiliti berisiko banjir
Keratan Akhbar: utusan.com.my
Tarikh: 21 Oktober 2023
KOTA BHARU : Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengenal pasti lebih 40 fasiliti kesihatan di negeri ini yang berkemungkinan berisiko dilanda banjir sepanjang tempoh peralihan Monsun Timur Laut.
Pengarahnya, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, jumlah tersebut berpandukan kepada garis panduan serta pengalaman banjir yang berlaku sebelum ini
“Sebelum ini, terdapat kawasan yang tidak dijangka untuk berdepan banjir seperti di Pasir Puteh disebabkan banyak faktor termasuk pembangunan dan saliran.
“Jadi, kita tetap berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi segala kemungkinan termasuk kawasan yang tidak pernah dinaiki air,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan ‘14th Asia Pasific Cardiologi Update’ (APCU) 2023 di sini hari ini.
Dr. Zaini memberitahu, pihaknya mengarahkan semua hospital serta klinik kesihatan di negeri ini untuk melengkapkan logistik di kawasan yang berpotensi dilanda banjir.
Katanya, segala urusan pemindahan operasi kesihatan untuk pesakit yang memerlukan rawatan segera dan berterusan seperti rawatan dialisis serta ibu yang hampir bersalin juga turut dikenal pasti.
“Di Kelantan, banjir boleh dikatakan menjadi rutin setiap tahun dan kita akan mempersiapkan segala protokol serta prosedur operasi standard (SOP) yang ada.
“Pengalaman yang lepas mengajar kita beberapa perkara untuk bersiap siaga memantau dari masa ke semasa keadaan cuaca serta amaran yang dikeluarkan,”katanya. -UTUSAN
- Created on .
- Hits: 212