Pemakanan sihat bantu hasilkan sel stem dalam badan
Sisipan Akhbar: bharian.com,my
Tarikh: 17 Mac 2024
KOTA BHARU: Terdapat lebih 200 jenis sel di dalam badan manusia dan sel tunjang atau dikenali sebagai sel stem yang adalah sel asas dalam badan manusia yang berupaya berubah menjadi sel-sel jenis lain.
Menurut Pensyarah Unit Sains Asas, Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Ts Dr Azlina Ahmad, berkata terdapat pelbagai jenis produk kesihatan yang berasaskan sel stem terdapat di pasaran Malaysia cuba mengambil kesempatan mengaut keuntungan berikutan potensi dan kelebihan sel stem.
Katanya, ramai yang tidak tahu sel stem yang memberi kebaikan pada badan adalah dihasilkan oleh badan, bukannya daripada produk tertentu.
"Justeru, amalkan penjagaan kesihatan dengan mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat kerana badan yang sihat akan menghasilkan sel stem baik yang banyak.
"Orang ramai perlu hati-hati memilih makanan tambahan walaupun ada yang mendakwa ia berasaskan sel stem buah-buahan dan tumbuh-tumbuhan.
"Mengikut perubatan, kebanyakan produk mampu memberikan kesan baik dengan cepat selalunya mengandungi steroid yang tersembunyi di sebalik khasiat bahan lain.
"Pengambilan suplemen seperti ini akan menambahkan lagi masalah kesihatan pada masa depan.
"Saya nasihatkan orang ramai tidak mudah terpedaya dengan produk berasaskan sel stem sebaliknya fokus kepada penjagaan pemakanan dengan baik kerana membuatkan badan menghasilkan sel stem yang baik secara semula jadi sekali gus akan menggantikan sel rosak dengan cepat dan badan akan bertambah sihat," katanya.
Rawat kanser guna terapi sel stem
Dr Azlina berkata, kebanyakan pusat rawatan di Malaysia menggunakan terapi sel stem untuk merawat penyakit kanser darah seperti leukemia dan limfoma.
"Ia digunakan untuk menggantikan sel yang rosak dan menghasilkan sel baru dalam badan dan boleh menyembuhkan pesakit.
"Sampel darah pesakit atau penderma yang sesuai akan diambil dan diproses untuk mendapatkan sel stem dan dimasukkan semula ke badan pesakit bagi menggantikan sel darah yang rosak akibat kanser.
"Bagaimanapun, ada kemungkinan sel stem yang diambil daripada pesakit sendiri tidak berfungsi kerana sel itu sudah rosak dan bagi yang mendapatkan sel stem daripada penderma, ia mungkin berlaku penolakan terhadap sel stem oleh badan penerima," katanya.
Sel stem mula dikenali secara meluas pada awal tahun 2000 dan banyak kajian dilakukan untuk tujuan perawatan penyakit kronik.
"Saintis bimbang kemungkinan ada kesan sampingan bagi rawatan sel stem, iaitu penghasilan tisu atau sel yang tidak dapat dikawal seperti penghasilan tisu kanser.
"Kini, ia masih di peringkat kajian klinikal kerana terdapat kekangan saintis menjalankan kajian ke atas manusia yang sihat demi mematuhi prosedur etika manusia," katanya.
Sel stem boleh diambil daripada embrio, iaitu telur manusia yang disenyawakan di dalam makmal yang dikenali sebagai sel stem embrionik dan adalah sel stem terbaik kerana keupayaannya untuk berubah menjadi sel jenis lain yang tidak terbatas.
"Terdapat juga sel stem lain diambil daripada tisu manusia seperti darah, gigi, hujung rambut dan banyak lagi yang mempunyai keupayaan berubah yang terhad," katanya.
- Created on .
- Hits: 422