Pembedahan bariatrik banyak manfaat tidak hanya untuk kurus
Sisipan Akhbar: bharian.com.my / 6 Mei 2024
KOTA BHARU: Masih ramai yang tidak mengetahui secara terperinci mengenai pembedahan bariatrik atau 'pemotongan usus' malah memandang serong terhadap individu yang melakukan pembedahan berkenaan.
Pembedahan bariatrik ialah pembedahan yang membantu seseorang menurunkan berat badan dengan membuat perubahan kepada sistem pencernaan sama ada mengecilkan perut ataupun memintas sebahagian daripada usus kecil selain membantu mengawal masalah berat badan berlebihan atau obesiti.
Pakar Bedah Bariatrik dan Metabolik, Unit Bariatrik dan Metabolik Surgeri, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Nizam Md Hashim berkata, walaupun pembedahan bariatrik sering dikaitkan sebagai pembedahan kosmetik, juga dapat membantu menyembuhkan penyakit sampingan lain.
Katanya, individu yang mengalami masalah kegemukan atau 'morbid obesity' dengan indeks jisim badan (BMI) melebihi 35 atau BMI melebihi 30 dan mempunyai penyakit metabolik seperti darah tinggi, kencing manis (diabetes), tinggi kolesterol layak menjalani pembedahan bariatrik.
"Individu mengalami masalah gangguan tidur dikenali sebagai 'obstructive sleep apnea' (OSA) disebabkan oleh obesiti juga boleh menjalani pembedahan bariatrik.
"Individu mempunyai masalah infertiliti disebabkan oleh sindrom ovari polisistik (PCOS) dan sakit lutut disebabkan berat badan berlebihan juga boleh melakukan pembedahan bariatrik selepas mencuba pelbagai kaedah penurunan berat badan seperti diet, senaman, memakan ubat-ubatan, namun masih gagal mendapat berat badan ideal," katanya.
Terdapat beberapa jenis pembedahan bariatrik yang biasa dilakukan seperti 'laparoscopic sleeve gastrectomy', 'gastric bypass', mini 'gastric bypass', 'sleeve plus' dan lain-lain.
"Jenis pembedahan sesuai akan ditentukan doktor bedah selepas perbincangan dengan pesakit dan mengambil kira tahap kesihatan pesakit serta sasaran gurangan berat badan diperlukan.
"Saiz perut lebih kecil juga akan memberi tindak balas hormon pada badan untuk mengurangkan rasa lapar.
"Pengurangan kuantiti pemakanan dan pengurangan rasa lapar akan membuatkan pesakit bariatrik berada dalam defisit kalori," katanya.
Pembedahan bariatrik yang sering dilakukan di hospital ini jenis 'laparoscopic sleeve gastrectomy'.
"Pembedahan ini sering menjadi pilihan disebabkan komplikasi yang rendah berbanding pembedahan secara terbuka dan luka sedikit serta proses penyembuhan mengambil masa cepat.
"Pesakit biasanya dibenarkan keluar wad dan pulang selepas beberapa hari pembedahan dan boleh mula melakukan rutin harian seperti biasa termasuk bekerja selepas dua minggu berehat," katanya.