Pemilihan kasut penting bagi pesakit diabetis, elak kaki dipotong
Sisipan Akhbar hmetro.com.my (12 Oktober 2024)
Kota Bharu: Pemilihan kasut sesuai adalah langkah pencegahan penting bagi mereka yang menghidap penyakit diabetis bagi mengelakkan kaki daripada dipotong.
Pensyarah dan Pakar Perubatan, Unit Perubatan Rehabilitasi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Al Hafiz Ibrahim berkata, kasut perlu dipakai oleh pesakit diabetis harus mempunyai saiz yang tepat, reka bentuk hadapan yang luas dan bahan lembut bagi membolehkan kaki bernafas sekali gus mengelakkan masalah kelembapan yang boleh menyebabkan jangkitan kulat.
"Selain itu, tumit kasut yang rendah serta tapak kasut empuk dan tebal dapat mengurangkan risiko kecederaan dan ulser pada kaki," katanya.
Beliau berkata, diabetis adalah penyakit kronik yang boleh memberi kesan serius kepada pelbagai bahagian tubuh termasuk kaki.
"Komplikasi seperti neuropati dan masalah peredaran darah boleh menyebabkan luka yang sukar sembuh, ulser serta jangkitan pada kaki dan sekiranya tidak dirawat dengan betul, keadaan ini boleh menyebabkan amputasi," katanya.
Katanya, komplikasi utama yang dialami pesakit diabetes termasuk neuropati diabetik ialah kerosakan saraf yang mengakibatkan kehilangan deria rasa pada kaki.
"Kerosakan ini menyebabkan deria rasa pada kaki berkurang atau hilang sepenuhnya sehingga pesakit tidak dapat merasakan luka, lepuh atau kecederaan kecil yang berlaku.
"Malah kecederaan ini boleh menjadi lebih serius tanpa disedari kerana pesakit tidak merasa sakit atau tidak sedar kerosakan yang berlaku pada kaki mereka," katanya.
Beliau berkata, bagi mencegah komplikasi lebih teruk, pesakit disarankan melakukan pemeriksaan kaki setiap hari.
"Antara perkara yang perlu diperiksa termasuk luka atau ulser, perubahan warna kulit, kekeringan atau keretakan kulit, perubahan tekstur kulit serta tanda-tanda jangkitan.
"Selain itu, keadaan kuku kaki, rasa sensasi dan perubahan suhu kaki juga perlu diambil perhatian," katanya.
Dr Al Hafiz berkata, pada masa sama, pesakit diabetes juga perlu berwaspada terhadap tanda amaran seperti luka tidak sembuh, perubahan warna kulit, bengkak tidak surut, rasa kebas atau kesemutan berterusan dan rasa sakit yang teruk pada kaki meskipun dalam keadaan rehat.
"Jika ada tanda-tanda ini, pesakit dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan perubatan dengan segera," katanya.
Disiarkan pada: Oktober 12, 2024 @ 1:38pm
- Created on .
- Hits: 124