Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

Penyakit hati pembunuh senyap

Sisipan Akhbar: bharian.com.my / Tarikh 21 Mei 2024

KOTA BHARU: Kebanyakan penyakit kerosakan hati di negara ini berpunca daripada jangkitan virus seperti hepatitis, penggunaan alkohol berlebihan, pengambilan ubatan atau suplemen, penyakit autoimun dan masalah genetik.

Pakar Patologi Kimia, Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Nur Karyatee Kassim, berkata hati organ tubuh menjalankan pelbagai fungsi seperti memproses nutrien, menapis, membuang toksin, menghasilkan bahan kimia untuk penghadaman dan proses metabolisme tubuh.

BH 21052024

Jika ada gangguan atau kerosakan pada hati, ia boleh membawa kepada penyakit hati dan jaundis.

"Jaundis antara gejala penyakit hati di mana kulit, mata dan tisu lain di badan bertukar kuning akibat peningkatan kadar serum bilirubin dalam darah.

"Bilirubin adalah produk buangan terkumpul dalam darah disebabkan beberapa faktor seperti penyakit hati dan masalah di bahagian hempedu yang menyekat aliran keluar bilirubin serta menyebabkan serum bilirubin terkumpul dalam darah mengakibatkan jaundis," katanya.

"Penyakit hati paling membimbangkan ialah kanser hati, iaitu antara lima teratas dalam senarai kanser selain kanser payudara, usus, paru-paru dan nasofarinks.

"Ia pembunuh senyap kerana ia selalunya hanya dikesan ketika sudah tahap empat dan sukar dirawat.

"Penyebab utama kanser hati ialah jangkitan kronik hepatitis B dan C, manakala penyebab kedua ialah penyakit hati berlemak," katanya.

Kaedah utama mengesan penyakit hati dan jaundis ialah melalui ujian darah iaitu ujian fungsi hati.

"Antaranya ALT (alanine aminotransferase) dan AST (aspartate aminotransferase), iaitu bacaan yang tidak berada dalam julat normal boleh menunjukkan kerosakan pada sel-sel hati.

"Pengukuran kadar bilirubin dalam darah juga penting untuk menilai tahap jaundis dan menentukan fungsi saluran hati serta hempedu.

"Jika keputusan masih meragukan, pesakit boleh melakukan ujian lanjut untuk melihat kesihatan hati secara keseluruhan," katanya.

Hati sebagai organ utama mengawal fungsi badan manusia, jadi ia perlu sentiasa berada dalam keadaan baik," katanya.

Justeru, masyarakat supaya lebih cakna memilih suplemen terutama yang tidak mempunyai kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) dan mengawal pengambilan akar kayu serta herba.

"Mereka turut disaran membuat pemeriksaan darah secara berkala, amalkan pemakanan dan gaya hidup sihat.

"Pada masa sama, mereka juga digalakkan mengambil vaksin bagi mengelak jangkitan Hepatitis B untuk mengurangkan risiko penyakit hati," katanya.

https://www.bharian.com.my/hujung-minggu/sihat/2024/05/1249572/penyakit-hati-pembunuh-senyap

  • Created on .
  • Hits: 127