Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

Program Kebajikan Kardiotorasik Hospital USM-HLH bantu lebih 90 kanak-kanak hidap penyakit jantung

Sisipan akhbar: utusanborneo.com.my (6 Mei 2024)

KOTA BHARU: Lebih 90 kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung kongenital di Kelantan dan Terengganu dibantu menerusi Program Kebajikan Kardiotorasik Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) dan Healing Little Heart (HLH) yang berpangkalan di United Kingdom (UK) sejak 2015.

Pakar Kardiologi Pediatrik USM Dr Mohd Rizal Mohd Zain berkata menerusi program itu pesakit kanak-kanak yang terpilih akan menjalani pembedahan di Hospital USM serta tidak lagi perlu dirujuk atau dihantar ke Institut Jantung Negara, sekali gus mengurangkan tempoh menunggu mendapatkan rawatan pembedahan jantung.

utusanborneo

"Program Kebajikan Kardiotorasik Hospital USM-HLH ini bergerak atas dasar sukarela dengan mendapat bantuan kewangan melalui derma dan sumbangan orang ramai melalui pertubuhan itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata bagi tahun ini, lapan hingga 10 pesakit menjalani pembedahan bermula 2 Jun lepas hingga esok dengan kerjasama pasukan perubatan HLH.

Menurutnya pasukan perubatan HLH disertai enam pakar melibatkan pakar bedah, intensivis, pakar kardiologi pediatrik, jururawat dan perfusionis yang bergabung dengan pakar dan petugas Hospital USM untuk menjayakan pembedahan itu.

“Kos yang perlu dibayar setiap pesakit terpilih untuk menjalani pembedahan bagi program ini sangat minimum iaitu kurang RM3,000. Bagaimanapun, kos sebenar melibatkan alatan dan ubatan untuk setiap pesakit adalah lebih tinggi, ada yang mencecah lebih RM20,000 untuk setiap pesakit,” katanya.

Seorang bapa pesakit, Othman Zakaria, 48, berkata bantuan menerusi program berkenaan menamatkan penantian anaknya Siti Nur Dayana berusia tujuh tahun untuk menjalani pembedahan jantung.

Katanya Siti Nur Dayana yang merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmud 2, Besut, Terengganu menghidap penyakit jantung berlubang sejak lahir.

"Sebelum ini pembedahan terpaksa ditangguhkan kerana beberapa masalah dihadapi antaranya faktor kewangan dan pandemik COVID-19.

“Kes anak saya pernah dirujuk ke IJN dan memerlukan kos RM10,000. Menerusi program ini, kos pembedahan belum dimaklumkan tetapi kos perubatan serta perkhidmatan kurang RM3,000," katanya. -- BERNAMA

https://www.utusanborneo.com.my/2024/06/05/program-kebajikan-kardiotorasik-hospital-usm-hlh-bantu-lebih-90-kanak-kanak-hidap

  • Created on .
  • Hits: 156