Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

SPICES USM pamer lebih 200 organ manusia

Keratan akhbar: sinarharian.com.my

Tarikh: 18 September 2023

KOTA BHARU - Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian menampilkan inovasi bertaraf dunia dengan membangunkan galeri organ patologi mengikut sistem badan manusia bernilai RM2.4 juta yang pertama di Malaysia.

Penubuhan dinamakan Galeri Interaktif Sains Perubatan (SPICES) di Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) universiti itu menempatkan lebih 200 organ manusia yang dilengkapi imbasan kod QR, panel interaktif, sistem audio, realiti maya (VR) dan realiti perantara (AR) serta pemetaan tiga dimenasi (3D).

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Ir Dr Abdul Rahman Mohamed berkata, SPICES berfungsi sebagai ruang pameran yang menggabungkan reka bentuk berkonsepkan sains dan seni serta lengkap dengan ciri-ciri teknologi berinteraktif.

Katanya, pembangunan SPICES itu ialah seiring dengan pertumbuhan masa kini yang akan melengkapkan dan menambah baik kaedah pengajaran serta pembelajaran dalam bidang perubatan di negara ini terutama di universiti berkenaan.

Sinar spices 2

“Organ atau spesimen tulen daripada tubuh badan manusia ini termasuklah mereka yang menghidap penyakit seperti kanser dan ketumbuhan.

“Organ seperti paru-paru, ginjal dan usus ini dikumpulkan hampir 40 tahun sejak bermula penubuhan USM pada tahun 1984 serta diawet sebelum diletakkan di galeri untuk dipamerkan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian SPICES di PPSP USM di sini pada Isnin.

Turut hadir, Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr Shaharum Shamsuddin dan Dekan PPSP USM, Profesor Dr Abdul Razak Sulaiman.

Dr Abdul Rahman berkata, SPICES juga satu ikonik yang membuktikan komitmen USM terhadap inovasi dan kecemerlangan dalam pendidikan serta penyelidikan.

  • Created on .
  • Hits: 389