Strok haba paling bahaya
Sisipan Akhbar: hmetro.com.my (25 September 2024)
Kota Bharu: Strok haba kini dikenal pasti sebagai antara penyakit paling berbahaya dalam kategori penyakit berkaitan kepanasan atau Heat Related Illness yang boleh membawa maut jika tidak dirawat segera.
Menurut rekod, pada suku pertama 2024, terdapat 45 kes penyakit berkaitan kepanasan di Malaysia dengan dua kematian akibat strok haba dan beberapa mangsa juga mengalami komplikasi serius memerlukan rawatan intensif di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Pakar Perubatan Kecemasan, Jabatan Kecemasan, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Syafiqah Adnan berkata, rawatan awal amat penting dalam menangani strok haba iaitu dengan menyejukkan badan mangsa secepat mungkin terutamanya menggunakan ais.
Katanya, selain itu, rawatan awal yang boleh dilakukan ahli keluarga atau sesiapa sahaja adalah memindahkan mangsa ke tempat yang sejuk, menanggalkan pakaian, menggunakan kipas atau semburan air serta meletakkan ais di badan mangsa jika ada.
"Walau bagaimanapun, masalah utama ialah kebanyakan mangsa tiba di hospital dalam keadaan yang sudah kritikal. Rawatan tidak lagi memberikan banyak kesan kepada mangsa," katanya.
Beliau berkata, strok haba adalah sebahagian daripada spektrum penyakit berkaitan haba yang merangkumi beberapa tahap daripada paling ringan hingga paling berbahaya.
"Kategori penyakit berkaitan kepanasan atau heat related illness terdiri daripada beberapa peringkat iaitu heat edema (sembap kaki), prickly heat (ruam panas), heat cramp (kekejangan), heat syncope (pitam), heat exhaustion (keletihan haba) dan yang paling berbahaya ialah strok haba yang boleh membawa maut.
"Strok haba biasanya berlaku apabila tubuh tidak mampu mengeluarkan haba secara efektif akibat terdedah kepada suhu tinggi untuk jangka masa yang lama.
"Apabila seseorang itu mengalami strok haba, suhu badan melonjak melebihi 40 darjah celcius selain menunjukkan tanda-tanda seperti muka merah, kulit kering tanpa peluh.
"Paling ketara ialah kesedaran yang merosot ditambah gejala lain yang dapat lihat seperti pening, sakit kepala, muntah, sawan, dan kekejangan serta mangsa mungkin juga akan berjalan terhuyung-hayang dan menunjukkan tanda-tanda seakan-akan strok biasa tetapi dalam kes ini badan mereka terlalu panas," katanya.
Katanya, bagi mengurangkan risiko strok haba, orang ramai dinasihatkan tidak melakukan aktiviti luar terutamanya semasa gelombang haba dan melakukan aktiviti pada waktu yang kurang panas seperti pagi atau petang.
"Selain itu, orang ramai juga boleh memakai pakaian yang nipis, longgar, memilih warna yang tidak menyerap haba serta disaran untuk minum air sebanyak mungkin walaupun tidak dahaga dan elakkan minuman yang beralkohol sebelum atau semasa melakukan aktiviti luar.
"Strok haba juga boleh terjadi kepada bayi dan warga emas terutama jika terdedah secara terus kerana sistem penyejukan badan mereka kurang berfungsi dengan baik dan tubuh mereka tidak dapat mengawal suhu dengan baik," katanya.
Pada masa sama, beliau turut menasihatkan golongan yang berisiko seperti jemaah haji dan umrah mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya termasuk meminum air secukupnya dan menjaga suhu badan sepanjang menunaikan ibadah.
Disiarkan pada: September 25, 2024 @ 7:01am
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/09/1137414/strok-haba-paling-bahaya
- Created on .
- Hits: 243