Posted in Keratan Akhbar.
USM bantu beri nasihat dan kaunseling hadapi COVID-19
KOTA BHARU: Pasukan Bantuan Awal Psikologi (PFA) Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian mengambil inisiatif menyediakan khidmat kaunseling dan nasihat kepada kakitangannya serta orang awam yang terkesan susulan pandemik COVID-19.
Pakar Psikologi Klinikal, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Profesor Madya Dr Azizah Othman, berkata bermula 1 April sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seramai 32 kakitangan dalam pelbagai bidang akan membantu memberi bantuan psikologi secara dalam talian.
Selain PFA USM, ia turut membabitkan pakar psikiatri, pakar psikologi klinikal, kaunselor, pegawai psikologi hospital dan pegawai perubatan.
Katanya, dalam tempoh krisis wabak COVID-19, sasaran utama adalah tertumpu kepada pegawai perubatan, pembantu perubatan serta jururawat di HUSM yang bertugas di barisan hadapan selain individu yang berurusan dengan orang ramai secara terus di hospital, bagi membendung penularan wabak berkenaan.
“Selain kakitangan kesihatan, pesakit yang disahkan positif COVID-19 atau dikategorikan Patient Under Investigation (PUI), penuntut Kampus Kesihatan dan orang awam yang terbabit secara langsung mahupun tidak langsung, turut diberi perhatian untuk mendapatkan khidmat nasihat serta kaunseling.
“Dalam keadaan sekarang apabila dunia dikejutkan dengan penularan wabak COVID-19, seseorang itu berhadapan dengan perubahan dan reaksi psikologi seperti keresahan, takut, bimbang, marah, ragu-ragu, tertekan atau merasa tidak mampu untuk bertahan terutama dalam meneruskan tugas.
“Walaupun mungkin ada sesetengah individu boleh mengatasi kesan psikologi ini dengan yakin dan tenang, tetapi ada juga di antara mereka yang tidak berjaya serta memerlukan sokongan luar dan di sinilah khidmat nasihat dan kaunseling diperlukan,” katanya.
Beliau berkata, setiap panggilan akan dilayan oleh pegawai yang berperanan mendengar segala permasalahan dialami pemanggil dan pegawai ini akan memberi maklumat serta kaedah untuk meredakan tekanan dan ketegangan yang dialami pada ketika itu.
Kemudian, pemanggil akan dihubungkan dengan perkhidmatan dan bantuan lain yang diperlukan.
“Sebagai contoh, sekiranya pemanggil didapati memerlukan kaunseling tambahan, perkhidmatan ini akan ditawarkan pada peringkat seterusnya tertakluk kepada syarat dan keadaan tertentu.
“Pada masa sama, mereka yang membuat panggilan secara dalam talian kepada pihak kami juga tidak perlu bimbang kerana semua maklumat dikongsi adalah sulit, terhad, dan diuruskan mengikut tatacara serta etika perubatan, psikologi dan kaunseling,” katanya.
Azizah berkata, USM mengalu-alukan sesiapa sahaja, termasuk orang awam yang terkesan secara psikologi akibat COVID-19 ini untuk mendapatkan khidmat nasihat dan sesi kaunseling disediakan oleh pihaknya tanpa dikenakan sebarang bayaran.
“Jangan biarkan emosi menguasai diri kita kerana ia akan menyebabkan masalah yang lebih serius. Bagi mereka yang menjalani PKP di kediaman masing-masing, pastikan anda mengekalkan rutin harian seperti biasa, mengamalkan pemakanan sihat dan bersenam.
“Dalam situasi sekarang jangan terpengaruh dengan berita palsu kerana akan menimbulkan kegusaran dan panik yang keterlaluan,” katanya.
Bagi mereka yang memerlukan khidmat nasihat serta sokongan yang ditawarkan oleh PFA, dikehendaki isi borang soalan saringan yang boleh didapati dalam laman carian ‘Google’ di alamat https://forms.gle/vqBeG9QRW6eFvuGz9 atau boleh juga menghubungi hotline PFA di talian 09-7671188 dari jam 8 pagi hingga 6 petang setiap hari.
Untuk rekod, penubuhan awal PFA adalah pada tahun 2014 iaitu ketika Kelantan dilanda ‘Bah Kuning’ dan mereka diberi tanggungjawab untuk membantu mengurangkan tekanan awal yang dialami oleh mangsa dalam bencana berkenaan.
- Created on .
- Hits: 122