USM sedia kongsi kepakaran penyelidikan dengan usahawan tempatan
Keratan Akhbar: Utusan.com.my
Tarikh: 4 Oktober 2023
KOTA BHARU: Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian di sini membuka peluang dan sedia bekerjasama dalam bidang penyelidikan dengan usahawan tempatan dalam proses pengeluaran produk.
Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin berkata, kerjasama dalam bidang penyelidikan itu penting kerana USM sudah melahirkan ramai saintis dalam pelbagai bidang.
Menurutnya, lebih daripada tiga buah syarikat sudah menjalinkan kerjasama dengan USM termasuk usahawan produk kosmetik pada tahun ini.
“Oleh itu, USM mengalu-alukan mana-mana syarikat yang berhasrat untuk menjalinkan kerjasama dalam pelbagai bidang penyelidikan.
“Bagaimanapun, USM akan meneliti terlebih dahulu sesuatu produk demi menjaga keselamatan umum,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (Moa) antara USM dan ZN Abqary Enterprise (ZN Abqary) di USM, Kubang Kerian di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Shaharum memberitahu, kos penyelidikan produk di USM juga lebih berpatutan berbanding universiti luar negara apabila pihak universiti itu mempunyai banyak kemudahan untuk membuat kajian.
Katanya, perjanjian penyelidikan merupakan langkah awal dalam usaha menggabungkan penyelidikan dan pelbagai latar belakang untuk menangani masalah baharu terutamanya dalam bidang perubatan komplementari dan tradisional.
“Moa dengan ZN Abqary dijalankan untuk kajian produk makanan tambahan yang berasaskan sacha inchi atau Plukenetia Volubilis sebagai ejen anti kolesterol yang dihasilkan melalui kajian dikenali VITAL-S.
“Kajian terhadap produk itu telah dijalankan di USM oleh sekumpulan saintis iaitu Dr. Sabreena Safuan dan Dr. Zuraidah Abdullah yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ZN Abqary, Mohd. Shahfieq Senan berkata, kerjasama itu penting dalam memastikan produk keluaran syarikatnya mempunyai gred yang baik selain selamat untuk pengguna.
Katanya, produk tersebut dapat membantu mengurangkan tahap kolesterol jahat dalam badan sekali gus membantu merendahkan risiko penyakit kardiovaskular dalam kalangan rakyat Malaysia.-UTUSAN
- Created on .
- Hits: 173