Wanita lebih cenderung hidap penyakit sendi
Sisipan Akhbar : bharian.com.my (21 Jun 2024)
KOTA BHARU: Golongan wanita lebih cenderung untuk mendapat osteoartritis iaitu sejenis penyakit sendi berbanding lelaki.
Menurut Pakar Perunding Ortopedik dan Artroplasti, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Shaifuzain Ab Rahman, osteoartritis boleh menjejaskan semua sendi sinovial pada tubuh, namun kebiasaannya ia lebih kepada sendi lutut serta pinggul disebabkan sendi berkenaan menanggung beban berat badan.
Katanya, osteoartritis berlaku apabila tulang rawan antara dua permukaan tulang dalam sendi menipis dan terhakis menyebabkan dua permukaan tulang tanpa rawan yang membentuk sendi akan bergeser yang banyak dialami oleh pesakit peringkat umur tua.
"Ia akan menyebabkan kesakitan ketika pergerakan sendi berlaku terutama semasa berdiri dan berjalan yang mana proses kerosakan sendi sebegini dinamakan proses degeneratif.
"Disebabkan itu, kita perlu tahu sendi di bahagian pinggang, tulang belakang, bahu dan tangan juga adalah antara sendi lain yang boleh terlibat dengan osteoartritis," katanya.
Osteoartritis boleh dibahagikan kepada dua iaitu osteoartritis primer (OP) dan osteoartritis sekunder (OS).
"Kebanyakan pesakit OP adalah disebabkan peningkatan usia atau proses penuaan selain faktor lain seperti berat badan berlebihan dengan 'Body Mass Index' (BMI) melebihi dari 28 juga dikenal pasti sebagai mempunyai risiko tinggi untuk mendapat penyakit ini.
"OS pula terjadi disebabkan oleh faktor luaran yang bertindak ke atas rawan sendi sehingga menyebabkan gejala osteoartritis terjadi," katanya.
Jelasnya lagi, faktor yang memberi kesan buruk kepada sendi adalah jangkitan kuman dan kepatahan lampau yang melibatkan sendi serta penyakit seperti 'Rheumatoid Artritis' dan 'Gouty Artritis'.
"Pergerakan geseran sendi yang bergerak dalam jangka masa lama dan berulang juga boleh menyebabkan kerosakan yang teruk terutamanya sendi yang menanggung berat badan seperti sendi lutut, pinggul dan buku lali," katanya.
Berdasarkan data, penyakit sendi atau artritis di seluruh dunia dilaporkan kira-kira 65 hingga 80 peratus adalah dari jenis osteoartritis.
"Tanda fizikal bagi penyakit osteoartritis ini biasanya bergantung kepada tahap kesakitan pesakit yang akan mengalami lenguh pada sendi yang terlibat.
"Pesakit akan berasa sakit atau tidak selesa ketika pergerakan dan sendi mengalami bunyi 'crepitus'.
"Pesakit juga biasanya mengalami perubahan fizikal yang lebih ketara pada sendi seperti lutut kelihatan pengkar ke dalam dengan lebih jelas dan perlu menggunakan alat sokongan seperti tongkat, 'crutches' atau 'walking frame' untuk menampung kesakitan dan ketidak stabilan pada sendi yang terlibat," katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai agar lebih cakna untuk datang lebih awal berjumpa pakar perubatan apabila mempunyai tanda fizikal atau perubahan pada sendi badan.
https://www.bharian.com.my/sihat/2024/06/1261327/wanita-lebih-cenderung-hidap-penyakit-sendi
- Created on .
- Hits: 160