USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 2 Oktober 2022 – Bahagian Kelestarian dan Pembangunan Institusi (BKPI) telah menganjurkan Majlis Anugerah Penarafan Aset 2022 melibatkan keseluruhan Universiti Sains Malaysia (USM).


Bagi Kampus Kesihatan majlis ini telah berlangsung di Auditorium Blok Pentadbiran Hospital USM, hari ini.

Majlis tersebut diadakan bertujuan untuk menerapkan rasa kebertanggungjawaban dalam kalangan staf bagi menjaga aset universiti dengan baik serta jujur dalam menguruskannya di samping menjadi dorongan untuk lebih peka serta amanah dalam melaksanakan tugas sekaligus menjaga nama baik universiti dan agama amnya.


Untuk siri pertama Audit Penarafan Aset, sebanyak 15 Pusat Tanggungjawab (PTJ) di Kampus Kesihatan mendapat penarafan bintang tetapi hanya lapan (8) daripadanya mendapat lima (5) bintang iaitu Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Aset (JPPA), Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Jabatan Pendaftar, Perpustakaan Hamdan Tahir (PHT), Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (UKKP), Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) dan Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM).

Menariknya, INFORMM telah menerima Anugerah Khas (Markah Tertinggi) serta Anugerah Pegawai Aset PTJ Terbaik.


Hadir menyempurnakan majlis ialah Timbalan Naib Canselor Kelestarian dan Pembangunan Institusi, Profesor Dr. Md. Roslan Hashim selain turut dihadiri Timbalan Pengarah Infrastruktur dan Aset, Hospital USM, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud, Ketua Audit Dalam, Unit Audit Dalam, Kampus Induk, Ubaidillah Ozmin dan Penolong Pendaftar Kanan merangkap Penyelaras Latihan Pengurusan Aset BKPI, Nazri Ahmad.

Kesemua 8 PTJ yang mencapai (5) bintang akan dibimbing oleh En. Nazri Ahmad sebagai Mentor untuk membantu PTJ yang lain di Kampus Kesihatan agar turut berjaya pada siri kedua Audit Penarafan Aset pada hujung November 2022 nanti.
Teks: Muhd Zulkifli Zakaria / Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood