السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Esok, seluruh umat islam akan menyambut Hari Raya Aidiladha. Dalam kita meraikannya bersama sanak-saudara, rakan dan taulan adalah menjadi tanggungjawab kita untuk pastikan hari mulia ini tidak berakhir dengan musibah.
Kepada warga Kampus yang pulang ke kampung halaman sempena Hari Raya Aidiladha ini, pastikan anda berada dalam keadaan yang terbaik ketika memandu.
Di antara punca kemalangan yang biasa direkod kan adalah gejala 'Microsleep'. Gejala 'microsleep' yang utama adalah tertidur ketika memandu antara selang masa dua saat ini mampu mengakibatkan kemalangan dan mengorbankan nyawa.
Justeru itu, saya menyeru seluruh warga kampus yang bermusafir pulang ke kampung agar sentiasa peka dan berhati-hati dalam pemanduan. Perbanyakan salawat dan doa naik kenderaan agar pulang dengan selamat ke pangkuan keluarga tercinta. Amalkan sedikit kaedah berikut ketika memandu antaranya :
✳️ Tidur seketika jika mengantuk. Tak perlu tidur lama. Lima minit cukup.
✳️ Ulang setiap kali anda mula berasa mengantuk. Berhenti di kawasan yang selamat setiap dua jam untuk pemanduan jarak jauh.
✳️ Bagi penumpang hadapan pula, bawalah bersembang dengan pemandu untuk elak rasa mengantuk.
Warga Kampus yang dikasihi, kita sedia maklum bahawa virus wabak Covid-19 masih lagi menghantui kita walaupun negara kini sedang beralih ke fasa Endemik. Jadi, jangan sekali kali kita alpa dan memandang enteng terhadap virus yang boleh kembali menular dengan varian baharu ini. Jadilah seorang yang bertanggungjawab serta cakna dalam memastikan seluruh ahli keluarga, sanak saudara sentiasa dilindungi.
Amalkan dan lakukan ujian kendiri sebelum anda pulang ke kampung jika anda ber gejala untuk pastikan ahli keluarga yang berisiko tinggi dilindungi daripada dijangkiti COVID-19.
Di kesempatan ini saya menyeru warga kampus untuk terus membudayakan amalan 3W (Wash/ Cuci), (Wear/ Pakai) dan (Warn/ Amaran) serta Elakkan 3C (Crowded/ Sesak), (Confined space/ Sempit) dan (Close conversation/ Sembang dekat).
Jangan lupa memakai pelitup muka semasa menghadiri solat Sunat Aidiladha.
Selain ancaman virus COVID - 19, kita perlu sentiasa peka dengan ancaman penyakit penyakit berjangkit yang semakin menular seperti ILI (Influenza-Like-Illness), Denggi, HFMD dan sebagainya. Sentiasa menjaga keselamatan diri dan amalkan protokol kesihatan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khasnya.
Saat berderai jatuh titisan air mata suci Ibrahim, melihatkan keteguhan iman anaknya Ismail, dikala itulah bermulanya sejarah agung erti sebuah PENGORBANAN
Begitu juga bagi petugas barisan hadapan kita terutamanya yang berkorban masa untuk bertugas di Hospital USM tidak kira masa walaupun pada hari perayaan. Demi amanah dan tanggungjawab, pengorbanan kalian dalam menyelamatkan nyawa amat lah besar ganjaran nya di sisi Allah dan tidak ternilai dengan harga duniawi. Hanya Allah S.W.T. sahaja yang mampu membalasnya.
Akhir kalam, Salam AidilAdha, Maaf Zahir Batin buat semua warga Kampus Kesihatan khususnya dan warga USM amnya.
Semoga kita semua dilimpahi hidayah, rahmat, keberkatan dan keredhaannya jua.
Dengan ingatan tulus ikhlas, disusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf tersalah laku, terkasar bahasa.
آمِيّنْ آمِين.. يَارَبَّ العَـــالَمِيْن
Yang ikhlas;
Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin
Pengarah Kampus
Kampus Kesihatan USM
09 Julai 2022
09 Zulhijjah 1433H