USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 Julai 2022 – Jabatan Anatomi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) dengan kerjasama Unit Pemakanan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan program 'Bakery Training And Sensory Stimulations For Autism Kids With Eating Problems, hari ini.

Program tersebut bertujuan untuk meransang dan memberi input sensori rasa, bau dan penglihatan serta sentuhan untuk kanak-kanak autisme agar dapat membantu mereka berkembang dan mencapai integrasi sensori lain.
Selain itu, ia membantu mereka dalam memperbaiki dan menambah input yang membantu aktiviti harian dan boleh memajukan diri mereka.

Program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Dekan Libatsama Industri - Komuniti dan Pembangunan PPSP, Profesor Dr. Wan Hazabbah Wan Hitam dan disertai oleh kira-kira 19 orang anak-anak autisme yang berdaftar dengan Pusat Perkembangan Autisme.

Turut hadir ialah Ketua Jabatan Anatomi, PPSP, Profesor Madya Dr. Siti Nurma Hanim Hadie @ Haji dan wakil Pengarah Kelantan Autism Care Centre, Muhamad Faiz Rosli.