BENGKEL IMMUNOINFORMATIK PELUANG TEROKA BIDANG BIOINFORMATIK DAN IMUNOLOGI
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 24 Februari 2025 – Bagi memberi pendedahan kepada peserta mengenai pengetahuan asas dan lanjutan dalam immunoinformatik dengan fokus khusus pada penyelidikan genom virus dan reka bentuk vaksin, Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM), Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan ‘Immunoinformatics Workshop: Next-Generation Vaccine Design in the Fight Against COVID-19 (IIW2025)’ pada 16 hingga 18 Februari lalu.
Bengkel ini memfokuskan perkongsian ilmiah daripada pensyarah dan pakar dalam bidang bioinformatik dan imunologi serta sesi praktikal yang membolehkan peserta meneroka aplikasi dunia sebenar dalam immunoinformatik.
Selain itu, sesi perbincangan turut diadakan bagi menggalakkan pertukaran idea dan membuka peluang untuk penyelidikan kolaboratif.
Dengan menghimpunkan pakar, penyelidik dan bakal saintis, bengkel ini diharap dapat melengkapkan peserta dengan pengetahuan terkini serta kemahiran dalam immunoinformatik dan biologi pengkomputeran, sekaligus membolehkan mereka memberi sumbangan bermakna kepada bidang ini.
Penganjuran bengkel ini merupakan hasil usaha kolaboratif antara INFORMM, Kelab Rangkaian Biologi Komputasi dan Bioinformatik (COMBIONE), Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) dan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) serta mendapat tajaan penuh dari Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM).
Bengkel tersebut dirasmikan oleh Pengarah Kampus Kesihatan, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail dan turut dihadiri oleh Pengarah INFORMM, Profesor Madya Dr. Aziah Ismail serta Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Penglibatan Komuniti-Industri), (PPSK) USM, Profesor Dr. Hamid Jan Jan Mohamed.Sumber Laporan & Foto: Dr. Nik Yusnoraini Yusof
- Created on .
- Hits: 104