DELEGASI KPT DAN PETUGAS HOSPITAL USM SANTUNI WARGA PARIT SULONG
PARIT SULONG, JOHOR, 23 Oktober 2022 - Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad turun padang bersama delegasi dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi menyantuni warga Parit Sulong di Tapak Pasar Pagi selain menyertai lawatan ke rumah pesakit bersama petugas Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) sempena Program Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Prihatin, Komuniti Sejahtera (KRIS) Keluarga Malaysia, Parlimen Parit Sulong.

Program yang dianjurkan di bawah geran KRIS ini bertujuan untuk melakukan saringan kesihatan umum dan meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat berkait penyakit Diabetes serta kepentingan mencegah komplikasinya.

Selain itu, ia juga diadakan untuk menyebarkan ilmu tentang kepentingan pemeriksaan sendiri payudara bagi pengesanan awal kanser payudara selain turut menyediakan konsultasi berkait perubatan, pemakanan dan perubatan pemulihan.

Program ini antara lain bertujuan untuk memberi kemudahan bekalan ubatan asas dan membuat rujukan ke fasiliti kesihatan jika perlu selain membentuk jalinan hubungan kerjasama antara Hospital USM dan komuniti di Johor.

Program yang berlangsung selama dua (2) hari iaitu pada 21 dan 22 Oktober ini turut diadakan di Tapak Pasar Tani Wanita dan Masjid Taman Industri Sri Sulong disertai oleh 15 orang sukarelawan Hospital USM terdiri daripada Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan, Jururawat, Pembantu Tadbir, Pembantu Operasi dan Pemandu.

Antara pengisian program ini ialah saringan kesihatan am, konsultasi dan pameran berkait penyakit Diabetes, konsultasi perubatan, pemakanan dan perubatan pemulihan, tayangan video pendidikan kesihatan, demonstrasi pemeriksaan sendiri payudara dan lawatan ke rumah pesakit yang terlantar.
Sumber Laporan & Foto : Dr. Norhayati Mohamad & Mohamad Nazri Mustapa
- Created on .
- Hits: 171