DUTA 'ORAL HYGIENE' USAHA PERTINGKAT KESIHATAN ORAL MURID BERKEPERLUAN KHAS
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 9 Oktober 2024 – Sebagai usaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran guru berkenaan kepentingan mengenal pasti masalah kesihatan oral murid berkeperluan pendidikan khas, Pusat Pengajian Sains Pergigian dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor telah mengadakan bengkel Pengukuhan Peranan Guru dalam Memperkasa Kesihatan Oral Murid Berkeperluan Pendidikan Khas di Sekolah Kebangsaan Seksyen 20, Shah Alam, Selangor pada 24 September lalu.
Pemerkasaan kesihatan oral murid berkeperluan khas amat penting agar kesihatan oral terjaga dan penyakit pergigian dapat dicegah daripada awal. Kanak-kanak istimewa ini memerlukan rawatan, bimbingan, bantuan dan perhatian khusus daripada orang di sekeliling mereka termasuk guru-guru di Sekolah Pendidikan Khas.
Penglibatan para guru sangat membantu dalam aspek pencegahan dan pengesanan awal masalah kesihatan oral golongan ini seterusnya meningkatkan kualiti hidup mereka. Guru yang dilatih melalui kaedah penjagaan kebersihan mulut dapat membantu meningkatkan tahap kebersihan gigi murid secara berterusan.
Pendekatan ini merupakan kaedah yang efektif dalam menjayakan program kesihatan pergigian. Guru-guru yang dilatih ini juga akan menjadi duta ‘oral hygiene’ dalam mempromosikan kesihatan oral yang sihat dalam kalangan guru-guru pendidikan khas lain (dalam negeri dan luar negeri), ibu bapa dan komuniti luar.
Sumber Laporan dan Foto: Dr. Noraida Mamat@ Mohd Yusuff
- Created on .
- Hits: 133