'FEEL THE NATURE 2.0' : FOKUS PEMBENTUKAN SAHSIAH PELAJAR FIZIKAL DAN MENTAL
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 15 Ogos 2023 – Bagi menguji ketahanan fizikal dan mental para pelajar serta meningkatkan tahap disiplin dalam melakukan aktiviti lasak, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan program ‘Feel The Nature’ 2.0 di Kale Nusuk, Jeli pada 4 Ogos lalu.

Program yang disertai 31 pelajar Kampus Kesihatan USM ini bertujuan meningkatkan kemampuan diri para peserta dalam menghadapi persaingan yang lebih mencabar selain menimba pengetahuan tentang kepentingan keselamatan di air dan tatacara pemakaian jeket keselamatan, teknik dan simulasi kayuhan kayak serta cara apungan badan di air.

Selain itu, program ini antara lain turut bertujuan melahirkan mahasiswa yang cemerlang dan seimbang daripada aspek intelektual, kepimpinan, fizikal, emosi, sosial serta spiritual dengan memupuk nilai-nilai berilmu, kompetetif dan berbudaya agar mahasiswa dan mahasiswi Kampus Kesihatan berupaya menghadapi cabaran dalam memajukan diri, bangsa dan negara.

Secara tidak langsung, program sebegini memupuk semangat berpasukan ke arah mewujudkan persefahaman dan kerjasama yang erat antara setiap peserta selain menguji keupayaan peserta berfikir, membuat keputusan, melaksanakan tindakan, bekerjasama, dan semangat setiakawan dalam erti persahabatan sebenar sebagai penentu kejayaan.

Majlis Penutup program ini telah disempurnakan oleh Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin. Turut hadir ialah Timbalan Pendaftar BHEPA, Kampus Kesihatan, Hafiz Assad Zakaria dan pegawai-pegawai BHEPA Kampus Kesihatan.
Sumber Laporan & Foto: Nik Nor Syakirah Ibrahim
- Created on .
- Hits: 347