USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 6 Julai 2023 – Kumpulan Rehab Charger, Unit Perubatan Pemulihan, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan antara 10 penerima geran MyIS Akar Umbi (MaGRIs) bagi tahun 2022 dalam Majlis Apresiasi Networking Inovator Sosial yang berlangsung di Hotel Premiera, Kuala lumpur, semalam.
Kumpulan ini menerima geran sebanyak RM62,000 menerusi projek ‘Multiple Aids for Pediatric Rehabilitation’ (MAIDS5) yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph Kurup.
Geran ini merupakan inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam usaha meningkatkan kolaborasi dan memperkukuh penyelesaian yang lebih berinovatif bagi mengatasi cabaran sosial yang dihadapi negara pada masa kini.
Inisiatif ini juga menggalakkan rakyat berinovasi melalui kerjasama secara ‘Quintuple Helix’ melibatkan kerajaan, industri, akademia dan masyarakat dengan tidak mengabaikan elemen alam sekitar.
Selain itu, inisiatif ini turut mengiktiraf para inovator sosial di Malaysia dalam penghasilan inovasi tempatan yang berasaskan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) bermatlamatkan kesejahteraan masyarakat dan pembangunan mampan.