JOHAN KAFETERIA TERBAIK KATEGORI UA, LONJAK NAMA KAFETERIA MURNI DI PERINGKAT KEBANGSAAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 12 Disember 2024 - Kafeteria Murni, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) dinobatkan sebagai johan kafeteria terbaik peringkat kebangsaan bagi kategori Universiti Awam, (UA) dalam Pertandingan Medan Selera Bersih dan Selamat 2023/2024 anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Kriteria yang diambil kira dalam penilaian itu merangkumi aspek kebersihan makanan, keceriaan persekitaran dan kemudahan yang ada di samping pendidikan kesihatan kepada para pelanggan.
Pusat Perumahan dan Penginapan Universiti (P3U), Kampus Kesihatan turut memainkan peranan bersama-sama pengurusan desasiswa melaksanakan penambahbaikan infrastruktur dan keceriaan Kafeteria Murni.
Pelaksanaan program itu amat penting bagi meningkatkan kesedaran pengusaha kafeteria dalam aspek penjagaan kebersihan premis serta menyediakan makanan yang bersih dan selamat bagi mengelak keracunan makanan kepada pelanggan terutama pelajar.
Bagi meraikan kejayaan tersebut satu majlis apresiasi meraikan Kafeteria Murni diadakan di sini, hari ini.
Sebagai tanda penghargaan, enam (6) pengusaha gerai di Kafeteria Murni menerima saguhati atas kerjasama dan usaha mereka yang turut bertungkus lumus menjayakan program itu.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Premis Perniagaan, Profesor Madya Dr. Wan Amir Nizam Wan Ahmad; Penggawa Desasiswa Murni Nurani, Hafiz Assad Zakaria dan Pegawai Tadbir P3U Kampus Kesihatan, Mohd Zuki Arifin.
Teks: Rosalwani Che Soh/ Foto: Wan Mohd Rashidi Wan Mood
- Created on .
- Hits: 220