USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 22 Ogos 2022 – Unit Kejururawatan, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan Program Pengukuhan Pengurusan Kejururawatan kepada sebahagian Penyelia dan Ketua Jururawat yang berlangsung di Auditorium, Blok Pentadbiran, Hospital USM pagi ini.

Program yang dihadiri hampir 100 orang Jururawat bertujuan memberi penjelasan dalam aspek penyeliaan dan pengurusan serta peluang untuk laluan kerjaya yang lebih baik.

Dengan tema 'Sedang Rebung Baik Dipatah, Jadi Buluh Melepuh Jari', program ini turut menerangkan dengan jelas istilah jawatan Hakiki dan jawatan Khas Untuk Penyandang (KUP) supaya tidak disalah tafsir terutamanya dalam penyediaan Deskripsi Tugas.

Kandungan program turut menyentuh isu kenaikan pangkat secara Time-Based Berasaskan Kecemerlangan (TBBK) bagi staf kejururawatan yang berada di gred lantikan bertujuan untuk menyediakan peluang kemajuan kerjaya yang lebih baik kepada staf yang mencapai prestasi yang baik di samping menunjukkan sikap dan komitmen kerja yang positif.

Program turut menekankan konsep integriti dalam kalangan Penyelia dan Ketua Jururawat dan kecenderungan dalam menjalankan tugas yang diberi dengan penuh kesempurnaan, kejujuran, keikhlasan dan keutuhan tanpa melihat kepada kaedah lantikan sama ada secara hakiki atau TBBK.
Antara pengisian lain yang dimuatkan dalam program tersebut adalah sesi forum serta sesi soal jawab bersama panel.


Hadir sebagai panel jemputan ialah Pendaftar USM, Dato’ Dr. Musa Ali, Pengarah Hospital USM, Profesor Dato’ Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab. Rahman dan Ketua Penyelia Jururawat, Puan Raudzah Haji Mohamed Ariffin.