KAWALAN KESIHATAN BERTERUSAN MAMPU CEGAH PENYAKIT KRONIK
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 5 Mac 2025 – Sebagai usaha memberi pendidikan berkenaan penyakit kardiovaskular serta faktor risikonya kepada komuniti Pengkalan Kubor, Tumpat, Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) telah menganjurkan program ‘Cakna Jantung, Kita Sihat’ pada 27 Februari lalu.
Program ini merupakan inisiatif berterusan dan kesinambungan fasa 1 untuk memberi pendidikan kesihatan selain menjalankan saringan kesihatan untuk menilai status kesihatan masyarakat setempat. Antara aktiviti yang diisi sepanjang berlangsungnya program ini ialah saringan kesihatan, forum cakna kesihatan jantung, sesi pengisian spiritual, demontrasi masakan sihat, derma darah serta sumbangan pakaian terpakai kepada golongan B40.
Sepanjang tempoh enam (6) bulan antara fasa 1 dan fasa 2, dua program intervensi telah dijalankan masing-masing melibatkan 20 peserta bagi setiap program. Intervensi Kawalan Diabetes Ideal telah dijalankan dalam 12 sesi perjumpaan dan aktiviti dengan lima (5) peserta terbaik mencatat penurunan HbA1c sebanyak 1.3 peratus (%) hingga 2.7% sekaligus menunjukkan kawalan glukosa yang lebih baik. Manakala, bagi Intervensi Kawalan Berat Ideal, lima (5) peserta terbaik mencatat penurunan berat badan antara 2.4 kilogram (kg) hingga 4kg dalam tempoh enam (6) bulan.
Majlis penutupan program fasa 2 ini telah disempurnakan oleh Dekan PPSG, Profesor Dr. Norhayati Luddin. Program ini diharap dapat diteruskan lagi pada masa akan datang bagi membantu pengesanan awal penyakit kardiovaskular serta meningkatkan kesedaran dan membentuk komuniti yang sihat serta cakna tentang kesihatan.
Sumber Laporan & Foto: Dr. Zainab Mat Yudin
- Created on .
- Hits: 100