KEPAKARAN KESIHATAN DITERJEMAH MENERUSI PENULISAN
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 1 Julai 2024 - Selaras dengan misi dan visi Universiti Sains Malaysia (USM) yang sentiasa mahu dekat dengan masyarakat menerusi pelbagai platform, sebanyak empat (4) buah buku hasil penulisan pakar dari Kampus Kesihatan USM terpilih untuk dilancarkan dalam Majlis Pelancaran Buku Bertemakan Kesihatan dan Bicara Info Sihat sempena Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Ke-68, pada 27 Jun lalu.
Dalam majlis tersebut, sebanyak 10 buah buku dilancarkan dan secara tidak langsung ia membuktikan betapa pentingnya sokongan serta kerjasama semua pihak bagi menjayakan amalan pencegahan dan kawalan kesihatan diri yang dipertanggungjawabkan kepada setiap individu dan keluarga.
Empat (4) buah buku hasil tulisan pakar Kampus Kesihatan USM ialah Apa yang Anda Perlu Ketahui Tentang Hernia, Apa yang Anda Perlu Ketahui Tentang Kanser Prostat, Apa yang Anda Perlu Ketahui Tentang Rintis dan Resdung serta Apnea Tidur Lena yang Membawa Maut.
Majlis pelancaran yang berlangsung di Dewan Seminar Dato' Dr. Hassan Ahmad, Menara DBP, Kuala Lumpur itu disempurnakan oleh Pengerusi Institut Jantung Negara (IJN) yang juga Mantan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.
Sumber Laporan & Foto : Dr Norsuhana Omar
- Created on .
- Hits: 145