USM, KUBANG KERIAN, 21 September 2022 – Pasukan Program Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Prihatin, Komuniti Sejahtera (KRIS) Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) terus menabur khidmat dengan mendekati komuniti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelagat, Besut bagi memberi kesedaran kepada guru-guru dan pelajar tentang kepentingan kesihatan mental.

Program yang berlangsung pada 15 September lalu, mendapat kerjasama daripada Pejabat Kesihatan Daerah Besut dan Pejabat Kesihatan Pergigian Daerah Besut. Ianya diisi dengan pelbagai aktiviti antaranya ujian saringan minda sihat DASS dalam kalangan pelajar, ceramah kesihatan mental, saringan kesihatan umum dan pergigian, pameran kesihatan mental dan pergigian.

Selain memberi kesedaran tentang kepentingan kesihatan mental, program yang disertai lebih 700 orang warga SMK Pelagat juga bertujuan memberi pengetahuan kepada para guru dan pelajar tentang pengesanan masalah mental, memberi panduan kepada guru untuk merujuk kes masalah mental yang dikesan dan melakukan soal selidik kesedaran kesihatan mental (sebelum dan selepas program) dalam kalangan guru-guru.


Program ini juga diharap dapat memupuk budaya cakna kesihatan mental dalam kalangan guru dan pelajar di samping mewujudkan jaringan kerjasama antara USM dan agensi-agensi lain.
Sumber Laporan & Foto: Dr. Rosmaliza Ramli dan Dr. Nurulezah Hasbullah