KEPENTINGAN LITERASI DALAM MENINGKATKAN KUALITI HIDUP
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 6 November 2023 - Bagi meningkatkan tahap literasi dalam masyarakat, Perpustakaan Hamdan Tahir, Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan telah menganjurkan Program Literasi Lestari Bersama Ikon Membaca Negeri Kelantan pada 28 Oktober lalu di Bilik Tutorial A, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM.
Literasi memainkan peranan yang amat penting dalam pembangunan individu dan masyarakat selain menjadi asas kepada kemajuan dalam pelbagai aspek kehidupan.
Program yang merealisasi agenda Dekad Membaca Kebangsaan 2024 itu melibatkan 40 peserta dan menampilkan penerima Anugerah Ikon Keluarga Membaca Negeri Kelantan 2022, Mazidah Muhammad.
Dalam program tersebut, Mazidah berkongsi pengalaman tentang kepentingan membaca dalam membentuk peribadi, ahli keluarga terutama anak-anak dan seterusnya menghasilkan pemikiran kritis.
Antara pendedahan yang diketengahkan adalah mengenai kelebihan membaca yang bukan sahaja memberi peluang untuk memperoleh ilmu tetapi juga memperkaya diri dengan perspektif dan pengalaman yang pelbagai.
Dengan penganjuran program ini, diharap ia dapat menyemai kesedaran mengenai kepentingan literasi sebagai alat untuk meningkatkan kualiti hidup, memperkukuh pemikiran kritis dan memajukan pendidikan serta ekonomi komuniti.
Sumber Laporan & Foto: Nurul Azurah Mohd Roni
- Created on .
- Hits: 341