KERJASAMA USM-RICD BANTU GOLONGAN OKU MASUK TAHUN KE-12
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 23 Januari 2024 - Pusat Transformasi Orang Kurang Upaya Universiti Sains Malaysia – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (PTOKU USM-MAIK), Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) sekali lagi membawa nama USM ke Thailand bagi menyumbang kepakaran dalam modifikasi kerusi roda golongan OKU di Pattani pada 15 dan 16 Januari lalu.
Program yang dianjurkan bersama Patcharaporn (Tohmina) Ritthidet Foundation ini merupakan sebahagian daripada aktiviti tahunan antara USM dan Rajanagarindra Institute of Child Development (RICD) melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada tahun 2012.
Sebanyak 102 buah kerusi roda yang telah diubahsuai mengikut kesesuaian golongan OKU dan peralatan perubatan yang bernilai kira-kira RM341,127 telah diserahkan kepada 93 orang OKU daripada pelbagai kategori termasuk 15 kanak-kanak.
Empat (4) ahli Pasukan Kerusi Roda USM yang diketuai oleh Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim dan dianggotai oleh Nik Fakhurudin Nik Ali, Mohd Rosdi Ismail, Hafizee Hamid berpuas hati dengan khidmat yang disumbangkan dalam membantu golongan OKU meneruskan kelangsungan hidup.
Majlis Penyerahan Kerusi Roda kepada golongan OKU Selatan Thailand itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Thailand, Surasak Phancharoenworakul. Turut hadir ialah Timbalan Governor, Wilayah Pattani, Sanan Suntimuang; Penasihat kepada Menteri Pengajian Tinggi, Sains, Penyelidikan dan Inovasi Thailand, Dr. Pechdau Tohmeena; Pengarah ‘Mental Health 12, Ministry of Public Health’, Thailand, Suri Upamon dan Pengasas Bersama Projek Kerusi Roda RICD, Dr. Samai SirIthongthaworn.
Sumber Laporan & Foto: Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim
- Created on .
- Hits: 203