Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN: TANGGUNGJAWAB BERSAMA PENGURUSAN DAN PEKERJA

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 7 Mac 2024 – Taklimat bersama Ketua Jabatan dan Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) peringkat Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) telah diadakan hari ini bagi meningkatkan pencapaian dan kecemerlangan dalam memastikan staf dapat memberikan perkhidmatan yang berkualiti.

Taklimat tersebut antara lain bertujuan mengutamakan keselamatan dan kesihatan pekerjaan staf bagi mengelak berlakunya kemalangan di tempat kerja yang akan mengakibatkan kerugian dan kerosakan harta benda, jentera mahupun kehilangan anggota badan atau nyawa di samping melibatkan ganti rugi, kos perubatan dan pampasan.

IMG 20240307 WA0042

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail yang hadir mendengar taklimat tersebut menyambut baik perkongsian ilmu yang disampaikan oleh Ketua Seksyen Promosi dan Sumber, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kelantan, Salma Mat Rifin.

IMG 20240307 WA0040

Sesi taklimat itu diharap memberi impak positif dalam mengurangkan bahaya dan risiko di tempat kerja serta mampu mengawal jumlah penyakit bagi meningkatkan produktiviti dan kepuasan bekerja sekaligus meningkatkan pencapaian sesebuah organisasi.

Selain itu, taklimat ini turut menekankan komunikasi dua (2) hala di antara pengurusan dan pekerja untuk perundingan dan kerjasama bagi mengembang serta menyebarkan maklumat tentang keselamatan dan kesihatan pekerjaan kerana pekerja merupakan aset penting kepada sesebuah organisasi.

IMG 20240307 WA0039

Pengurusan Kampus Kesihatan USM turut menyeru semua Ketua Jabatan memberi penekanan terhadap keselamatan, kesihatan dan kebajikan staf di jabatan masing-masing sebagai usaha memastikan aspek keselamatan dan kesihatan di USM sentiasa dipelihara dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

IMG 20240307 WA0041

Turut hadir dalam sesi taklimat ini ialah Dekan, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Profesor Dr. Abdul Razak Sulaiman; Dekan, Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), Profesor Madya Dr. Mohd Fadhli Khamis; Timbalan Pengarah (Operasi), Hospital USM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof; Timbalan Pengarah (Infrastruktur dan Aset), Hospital USM, Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud dan Ketua-ketua Jabatan, Kampus Kesihatan USM.

Teks: Marlina Zahari/ Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 220