USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 20 Februari 2023 - "Kebolehpasaran, tindakan dan dedikasi staf menjadi pemangkin kepada kemenjadian Hospital USM", itu antara kata-kata penghargaan yang disampaikan oleh Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Shaharum Shamsudin semasa sesi perjumpaan bersama warga Hospital USM, pagi ini.


Selaku Pengarah Kampus, Shaharum sangat berbesar hati dengan komitmen dan kesungguhan warga Hospital USM melaksanakan tugas yang secara keseluruhannya melibatkan masyarakat dalam aspek perawatan dan pengurusan pesakit yang menjadikan Hospital USM sebagai pilihan untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Shaharum menyatakan bahawa Hospital USM jelas berada pada standard tersendiri dengan pelbagai penawaran perubatan terkini seperti Perkhidmatan Rehabilitasi Robotik, 'Magnetic Resonance Imaging' (MRI) Magnetum Amira Biometrix, Laser Refraktif di samping rawatan optometri di dalam kawasan hospital.


Beliau juga turut berkongsi tentang Pelan 'Revisit' Agenda USM APEX yang akan dilaksanakan bagi memastikan USM kembali berada di dalam laluan APEX yang merupakan proses transformasi dengan melihat semula input, ouput, 'outcome' dan impak bagi memastikan USM terus menjadi pusat kecemerlangan kerana USM merupakan satu-satunya universiti awam di Malaysia yang dikalungkan status APEX oleh Menteri Pendidikan Tinggi pada tahun 2008.
Dalam sesi perjumpaan ini juga warga Hospital USM diberi kesempatan untuk mengutarakan pandangan dan pendapat berkait keperluan penambahbaikan infrastruktur dan frasarana yang terdapat di Hospital USM.


Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Pengarah Hospital USM, Dato' Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman; Timbalan Pengarah (Klinikal), Profesor Madya Dr. Zaidi Zakaria; Timbalan Pengarah (Operasi), Profesor Dr. Mohd Imran Yusof; Timbalan Pengarah (Infrastruktur dan Aset), Dr. Mohamed Ashraf Mohamed Daud dan ketua-ketua jabatan serta kakitangan Hospital USM.