KUNJUNGAN HORMAT PENGARAH APM PERKUKUH KOLABORASI KESUKARELAWANAN KOR SISPA USM
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 26 Februari 2025 - Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) terus komited dalam memperkasakan kemahiran pertahanan awam serta semangat kepimpinan dan kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa.
Sebagai satu-satunya badan beruniform di Kampus Kesihatan, Kor SISPA memainkan peranan penting dalam melatih mahasiswa dengan kemahiran asas keselamatan dan kecemasan, selain terlibat dalam pelbagai program khidmat masyarakat.
Dalam satu kunjungan hormat Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Kelantan, Kolonel (PA) Mohd Adzhar Mujab ke Kampus Kesihatan USM hari ini, Kor SISPA Kampus Kesihatan telah berpeluang membentangkan laporan aktiviti mereka kepada Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail.
Laporan tersebut merangkumi pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan termasuk latihan asas pertahanan awam, penyertaan dalam operasi bantuan bencana dan program kesedaran keselamatan awam bersama komuniti setempat.
Selain itu, sesi kunjungan ini juga turut menyaksikan majlis lantikan watikah, di mana barisan kepimpinan baharu Kor SISPA menerima pelantikan rasmi bagi sesi kepimpinan yang akan datang.
Pelantikan ini bertujuan memastikan kesinambungan kepimpinan yang berwibawa dalam menerajui Kor SISPA ke arah kecemerlangan.
Shaiful Bahari dalam ucapannya menzahirkan penghargaan terhadap komitmen Kor SISPA dalam membentuk mahasiswa yang bukan sahaja berpengetahuan dalam bidang akademik tetapi juga memiliki jati diri, disiplin dan semangat sukarelawan yang tinggi.
Beliau turut berharap agar Kor SISPA terus berkembang dan memberi impak positif kepada masyarakat serta universiti.
Kunjungan hormat dan majlis lantikan watikah ini diakhiri dengan sesi bergambar sebagai simbolik penghargaan dan sokongan berterusan terhadap usaha Kor SISPA dalam melahirkan mahasiswa yang berdaya saing dan berbakti kepada negara.
Turut hadir ialah Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) merangkap Ajutan Kor SISPA Kampus Kesihatan USM, Leftenan Kolonel Bersekutu Pertahanan Awam Hafiz Assad Zakaria, pegawai APM negeri dan daerah serta pegawai bersekutu APM USM.
Teks: Rosalwani Che Soh@Yusoff /Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 125