KURSUS ASAS DAN LATIHAN MEDAN SIRI 5/2024 BERI PENDEDAHAN ILMU PERTAHANAN AWAM KEPADA PARA PELAJAR
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 29 April 2024 – Bagi memberi pendedahan ilmu pertahanan awam kepada para pelajar yang mengambil kursus kokurikulum WPA103 (Tahap 1) dan WPA203 (Tahap 2) Pertahanan Awam, Pusat Kokurikulum Kampus Kesihatan dengan kerjasama sekretariat Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) telah menganjurkan Kursus Asas dan Latihan Medan Siri 5/2024.
Program tiga (3) hari, dua (2) malam yang dilaksanakan pada 21 April lalu melibatkan seramai 29 pegawai kadet Kor SISPA Kampus Kesihatan USM diadakan di sekitar Kampus Kesihatan USM dan Pusat Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (Kem Tangok, Bachok).
Sebahagian modul dan simulasi nyata yang dilaksanakan semasa kursus ini adalah asas menyelamat kecemasan seperti teknik ekstrikasi (‘darling carry’, ‘drag technique’, ‘blanket drag’), kawad usungan (stretcher drill), teknik ikatan dan simpulan tali serta latihan melawan kebakaran.
Selain itu, pelbagai aktiviti lain turut diajar kepada peserta seperti teori dan praktikal balutan bagi merawat mangsa yang mengalami kecederaan tulang, sendi dan otot serta luka terbakar, melecur dan kebakaran.
Kursus ini merupakan satu langkah proaktif untuk mempersiapkan peserta dengan ilmu penyelamatan dan pertahanan awam sambil memastikan kelestarian dan keselamatan komuniti secara menyeluruh selain daripada memenuhi syarat wajib pentauliahan.
Majlis Penutup kursus ini telah disempurnakan oleh Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail yang juga Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM. Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Kelantan, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Zul Khairi Shamsuddin, Timbalan Pendaftar Kanan BHEPA merangkap Ajutan Kor SISPA Kampus Kesihatan USM, Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Hafiz Assad Zakaria, pegawai APM Negeri dan Daerah serta pegawai bersekutu APM USM.
Sumbangan Laporan dan Foto: Khairul Ithma Mahdi / Muna Aifah Wan Salleh
- Created on .
- Hits: 197