LAMBAIAN KAABAH: MAJLIS SOLAT HAJAT IRINGI BAKAL JEMAAH HAJI
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 18 Mei 2023 - Majlis Solat Hajat untuk bakal jemaah haji yang terdiri dalam kalangan staf Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) bagi tahun 1444H telah berlangsung di Masjid Mukim Kampus Kesihatan, hari ini.
Seramai 26 orang staf terpilih untuk mengerjakan ibadah haji pada tahun ini iaitu 17 orang daripada Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), lima (5) orang daripada Hospital USM, dua (2) orang daripada Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) dan seorang masing-masing daripada Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Aset (JPPA) dan Jabatan Bendahari.

Dalam majlis tersebut turut diadakan penyampaian sumbangan barangan keperluan asas kepada bakal jemaah haji dan ceramah berkaitan cara-cara serta peraturan yang perlu diikuti sepanjang berada di Tanah Suci.

Kira-kira 150 orang warga kampus dan ahli kariah masjid menyertai solat hajat tersebut untuk memohon agar dipermudahkan segala urusan bakal jemaah haji semasa berada di Tanah Suci di samping mengeratkan hubungan antara warga kampus dengan komuniti sekitar.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Penyelaras Unit Sains Kesihatan Interdisiplin, PPSK, Dr. Mujahid Bakar yang mewakili Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM dan Pemangku Timbalan Pengarah (Ketua Perihal Pengurusan Masjid), Pusat Islam, Kampus Kesihatan, Rosdian Hassan.
- Created on .
- Hits: 120