Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

LATIHAN SIAPSIAGA BENCANA: PERSEDIAAN PASUKAN SUKARELAWAN YANG MANTAP

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 3 Ogos 2023 – Bagi menghasilkan pasukan sukarelawan yang berfikiran terbuka dan bersedia untuk melaksanakan tanggungjawab sekiranya berlaku sebarang bencana, Pusat Pengurusan Bencana (PPB), Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Pertubuhan Gabungan Bencana Malaysia (BBNGO) dan ‘International Medical University’ (IMU) mengadakan program Latihan Siapsiaga Bencana Modul Sukarelawan.
 
IMG 20230803 WA0045
 
Program yang berlangsung selama tiga (3) hari bermula 1 Ogos dan berakhir hari ini diadakan bertujuan untuk melatih sukarelawan terutamanya dalam kalangan profesional dan pelajar universiti agar lebih bersedia untuk menghadapi sebarang bencana selain menjadikannya sebagai acara tahunan PPB.
 
IMG 20230803 WA0044
 
Latihan yang disertai oleh 70 orang peserta terdiri daripada warga Kampus Kesihatan USM, komuniti sekitar dan pelajar IMU ini berlangsung di Min House Camp, Kubang Kerian.
 
IMG 20230803 WA0047
 
Program ini diharap dapat membantu para sukarelawan membuat persediaan dalam mengurus bencana dan menghadapi monsun timur laut yang bakal melanda.
 
IMG 20230803 WA0046
 
Majlis Perasmian Penutupan dan Penyampaian Sijil Penyertaan telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idrus. Turut hadir ialah Pengarah ‘IMU Cares’, Profesor Khoo Suan Paik; Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Kolonel (PA) Mohd Adzhar Mujab; Penyelaras PPB, Kampus Kesihatan USM yang turut mewakili Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Dr. Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah dan Pengurus BBNGO, Profesor Dr. Dinsuhaimi Sidek.
  • Created on .
  • Hits: 342