LEGASI KECEMERLANGAN IBB CHAPTER MALAYSIA DIJANGKA BERTERUSAN WALAUPUN TAMPUK PENYELARAS BERTUKAR TANGAN
BAYAN LEPAS, PULAU PINANG, 15 Ogos 2024 - Profesor bidang neurosains serta Pengerusi Kluster Penyelidikan ‘Brain Behaviour’ di Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Jafri Malin Dato’ Haji Abdullah menyerahkan tugas selaku Penyelaras 'International Brain Bee' (IBB) Chapter Malaysia kepada Profesor Madya Dr. Muzaimi Mustapha berkuat kuasa 15 Ogos 2024.
Profesor Madya Dr. Muzaimi Mustapha yang juga Pensyarah bidang neurosains di PPSP USM dijangka akan meneruskan legasi cemerlang kepimpinan IBB di Malaysia, khususnya dalam memastikan kelangsungan program IBB peringkat kebangsaan seterusnya ke peringkat global.
IBB ialah pertandingan neurosains untuk remaja yang diasaskan pada tahun 1999 oleh Norbert Myslinski dan terdiri daripada lebih 200 Chapter dilebih daripada 50 wilayah di enam (6) benua. Ia bertujuan membantu merawat dan mencari penawar untuk gangguan otak dengan memberi inspirasi serta memotivasikan pelajar untuk meneruskan kerjaya dalam neurosains asas dan klinikal.
Profesor Dato’ Dr. Jafri Malin Dato’ Haji Abdullah dan Profesor Madya Dr. Muzaimi Mustapha bersama komuniti neurosains seluruh negara serta delegasi dari negara-negara Asia dijadualkan menyertai 'Asian Society Agains Dementia' (ASAD) 2024 di SPICE Arena, Pulau Pinang pada 15 hingga 17 Ogos 2024 yang diadakan sempena pertandingan akhir 'Malaysian Brain Bee Challenge'.
Pemenang pertandingan IBB dari setiap negara turut akan dijemput untuk bersaing dalam kejohanan peringkat dunia pada tahun ini secara maya sempena mesyuarat saintifik tahunan persatuan 'Society for Neuroscience'(SfN) di Chicago, Amerika Syarikat pada 5 hingga 9 October 2024.
Teks/ Foto: Amyrulhan Azhari/ Profesor Dato’ Dr. Jafri Malin Dato’ Haji Abdullah
- Created on .
- Hits: 163