Skip to main content

Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

MARATON AVF: 17 PESAKIT BUAH PINGGANG JALANI PEMBEDAHAN, GABUNGAN KEPAKARAN PELBAGAI BIDANG

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 1 Ogos 2024 - Seramai 17 pesakit buah pinggang yang mengalami masalah berkaitan giinjal di negeri ini terpilih menjalani pembedahan melalui Program Maraton Arteriovenous Fistula (AVF), baru-baru ini.

Program yang melibatkan tiga (3) jabatan iaitu Unit Sains Rekonstruktif, Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Intensif serta Jabatan Radiologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) disertai seramai 90 pengamal perubatan yang mana prosedur pembedahan dilakukan di Dewan Bedah Utama, Hospital USM.

WhatsApp Image 2024 08 01 at 12.21.38 PM

WhatsApp Image 2024 08 01 at 12.21.38 PM1

Pembedahan AVF adalah penyambungan arteri kepada vena yang dibuat oleh pakar bedah vaskular. Arteri membawa darah daripada jantung ke badan manakala vena membawa darah daripada badan ke jantung.

Program yang dijalankan selama tiga (3) hari bermula 27 hingga 29 Jun itu mendapat respon positif daripada pesakit yang terlibat dan rata-ratanya berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan.

WhatsApp Image 2024 08 01 at 12.21.38 PM2

WhatsApp Image 2024 08 01 at 12.21.39 PM

Kesemua pesakit terlibat diberikan suntikan bius sebelum menjalani rawatan susulan dan pembedahan secara total dilakukan oleh doktor pelatih selain turut diselia oleh doktor pakar.

Program Maraton AVF ini juga menjadi platform kepada doktor pelatih melakukan latihan amali berkaitan pemetaan vena menggunakan mesin ultrabunyi yang merupakan prosedur penting untuk menentukan jenis AVF yang bersesuaian dengan pesakit.

WhatsApp Image 2024 08 01 at 12.21.40 PM

WhatsApp Image 2024 08 01 at 12.21.40 PM1

Mereka turut didedahkan dengan pengetahuan berkenaan pembiusan setempat untuk membolehkan pembedahan dijalankan dengan selamat dan latihan amali secara langsung oleh pakar tentang cara mendapatkan imej ultrabunyi yang optimum bagi meningkatkan profil keselamatan.

Sumber Laporan & Foto: Dr. Abdul Rauf Zakaria

  • Created on .
  • Hits: 250